UMNO sudah menetapkan tarikh pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini pada 5 Oktober depan. Kali ini pemilihan pemimpin di peringkat bahagian akan diadakan serentak dengan pemilihan pemimpin di peringkat nasional. Ia sesuai dengan kaedah pemilihan baru yang diperkenalkan Najib sebaik mengambil alih teraju kepimpinan UMNO pada 2009 lalu dengan tujuan menjadikan ruang demokrasi dalam parti menjadi lebih subur dan supaya UMNO lebih diminati oleh lebih ramai orang Melayu.
Sebelum UMNO diharamkan pada 1988, sesiapa yang ingin bertanding hanya memerlukan dua pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO tetapi sejak Mahathir menang hanya dengan kelebihan 43 undi di tangan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 dan kemudian menubuhkan UMNO Baru, beberapa peraturan untuk mengetatkan pertandingan telah diperkenalkan.
Antaranya ialah dengan memperkenalkan kouta pertandingan di mana mereka yang ingin bertanding apa-apa jawatan diperlukan melepasi kouta tertentu terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertanding. Kouta pencalonan bagi jawatan Presiden ialah 30 peratus, Timbalan Presiden 25 peratus, Naib Presiden 20 peratus manakala Ahli MT 10 peratus. Bagi jawatan lain di peringkat sayap dan bahagian juga ada peratusan tertentu yang ditetapkan sebelum layak bertanding. Itulah yang menjadi antara sebab Mahathir mampu kekal selama 22 tahun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Berikutuan keputusan buruk pilihanraya 2008 yang kemudian diikuti dengan pengunduran Pak Lah dan Najib mengambil alih teraju parti dan negara, beliau telah memperkenalkan peraturan baru dengan menghapuskan sistem kouta dan memberi ruang kepada lebih ramai ahli UMNO di peringkat bawahan hak memilih pemimpin. Ia sebahagian daripada transformasi politik Najib yang diperkenalkan oleh Najib.
Jika dulu pemilihan pemimpin hanya ditentukan oleh kira-kira 2,500 perwakilan sahaja tetapi kini ia lebih meluas dengan melibatkan seramai 146,500 perwakilan cawangan dari seluruh negara. Pemilihan juga diadakan serentak di seluruh negara untuk menjadikannya lebih adil dan tidak saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya Najib sering menjaja sistem baru ini menunjukkan keterbukaannya terhadap pertandingan serta pendirian yang tidak takut terhadap cabaran, selain sebagai usaha untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang lebih inklusif dan subur sistem demokrasinya.
Ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bawahan pula bagaikan tidak sabar untuk melaksanakan sistem baru kerana sebelum ini sebahagian besar mereka hanya menjadi golongan tumpang tengok saja dalam pemilihan pucuk pimpinan, malah ada yang hanya mengenali pemimpin melalui tatapan wajahnya di akhbar dan tv saja.
Dengan sistem pemilihan baru yang diperkenalkan Najib, ramai yang tidak sabar untuk menggunakan hak mengundi masing-masing, selain merasakan inilah masanya untuk mereka mengenali pemimpin kerana percaya ramai pemimpin atasan akan turun ke peringkat bawahan atau cawangan untuk melobi undi serta sokongan daripada perwakilan.
Soalnya benarkah sistem baru ini menjadikan demokrasi dalam UMNO lebih subur dan pewakilan seramai 146,500 itu benar-benar bebas memilih pemiimpin?
Apakah 146,500 itu boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka sebagaimana tanggapan ramai?
Jika ditanya kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan mengenai sistem pemilihan baru itu, ramai di antaranya yang masih kabur, keliru dan tidak pasti bagaimanakah kaedah pemilihan baru itu berfungsi. Apa yang mereka tahu, kali ini bukan lagi 2,500 perwakilan yang menentukan kedudukan pemimpin di atas tetapi sudah menjadi 146,500. Kebanyakannya hanya mempunyai pengetahuan setakat itu saja.
Walaupun UMNO telah mengadakan siri taklimat ke negeri-negeri mengenai sistem pemilihan baru ini tetapi tidak semua ketua-ketua cawangan menghadirinya. Yang hadir pula kadangkala mempunyai pemahaman yang terbatas, lalu usaha untuk menerangkannya dengan lebih jelas kepada ahli-ahli menjadi terhalang.
Media-media pula seperti tidak memberi liputan atau huraian yang sejelas-jelasnya mengenai sistem baru ini. Pemimpin UMNO juga tidak bercakap banyak mengenainya, sekadar suka menyebut angka 146,500 perwakilan sebagai bukti keterbukaan dan transformasi yang mahu dibawa oleh Najib.
Hakikatnya, ramai yang tidak sedar bahawa walaupun 146,500 perwakilan diberi ruang mengundi atau memilih pemimpin dalam sistem baru ini tetapi mereka bukanlah boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka. Meskipun mempunyai 146,500 perwakilan kali ini tetapi sistem yang digunakan ialah satu bahagian satu undi dan bukannya undian langsung perwakilan cawangan-cawangan.
Ini bermaksud jika sekiranya calon A dan B bertanding jawatan Presiden UMNO dan sebagai contoh UMNO Bahagian Pekan mempunyai perwakilan seramai 500 orang, sekiranya calon A memperolehi 400 undi manakala calon B memperolehi 100 undi, bermakna calon A telah memperolehi satu undi. Begitulah seterusnya berlaku di semua 191 bahagian-bahagian UMNO.
Sistem baru ini dikatakan adalah campuran daripada sistem pilihanraya di Amerika Syarikat dan United Kingdom atau dipanggil "electoral college".
Difahamkan juga, sistem baru ini hasil daripada beberapa pencarian serta pengubahsuaian dan hanya dimuktamadkan baru-baru ini sahaja. Yang nyatanya, sistem ini tetap memberi ruang kepada Ketua Bahagian melakukan kawalan dan Presiden atau sesiapa yang ingin kemenangan pula hanya perlu menjaga tembolok ketua-ketua bahagian untuk memastikan survivalnya terjamin.
Isunya ialah adakah kaedah satu bahagian satu undi ini benar-benar menunjukkan keterbukaan dan keinginan melihat demokrasi lebih subur atau sekadar transformasi palsu sedangkan matlamatnya tetap untuk melindungi mereka yang diatas terus kekal sebagai pemimpin.
Melalui satu bahagian satu undi, kawalan oleh mereka yang berjawatan lebih mudah terhadap bahagian-bahagian. Untuk mempertahankan jawatannya, Presiden atau Timbalan Presiden misalnya, perlu menemui semua 146,500 perwakilan cawangan-cawangan untuk mendapatkan undi tetapi cukup sekadar menjaga dan memberi jawatan atau habuan kepada Ketua-Ketua Bahagian saja.
Itulah antara sebabnya, walaupun tarikh pemilihan hanya tinggal kira-kira 2 bulan saja lagi tetapi kemeriahan dan kesibukan pemimpin turun ke peringkat bawahan masih tidak kelihatan lagi. Hanya ketua-ketua bahagian yang sibuk turun naik ke Kuala Lumpur menemui pemimpin atasan sambil diberikan pelbagai jenis habuan, kontrak dan jawatan.
Walaupun sistem ini dikatakan untuk memberi keadilan kepada bahagian-bahagian kerana jumlah cawangan setiap bahagian adalah berbeza-beza tetapi hakikat yang nyata ialah sistem "electoral college" ini juga bertujuan melindungi penyandang jawatan daripada digugat kedudukannya.
Kaedah ini nampak macam terbuka tetapi sebenarnya bukaannya hanya kecil saja. Ia tidak terbuka sepenuhnya sebagaimana yang disangka. Di sebalik transformasi dan keterbukaan yang dijaja, maksud tersiratnya untuk melindungi kepentingan sendiri nampaknya tetap lebih utama. - http://shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan