Rabu, 31 Julai 2013
Isa Samad setuju pertandingan ukuran populariti pemimpin Umno
Tan Sri Isa Samad hari ini berkata, beliau percaya pertandingan dalam pemilihan Umno menjadi kayu pengukur bagi populariti sesetengah pemimpin.
Pengerusi Felda Global Venture Holdings Berhad itu bagaimanapun berkata, "masih belum memikirkan" sama ada mahu bertanding dalam Pemilihan Agung Umno yang dijadualkan pada Disember depan atau tidak.
"Daripada segi siapa menang memang dia popular, yang kalah tidak popular, macam saya menang pilihan raya kerana orang masih pilih saya," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan bantuan kepada golongan Asnaf di pejabat Felda di sini.
"Sampai waktu bertanding saya umum, sekarang belum sampai masa," katanya ketika diminta mengulas kesediaan beliau untuk bertanding dalam pemilihan parti majoriti Melayu itu lagi.
Katanya, tiada parti politik yang mampu mengambil keputusan seperti Umno dengan membenarkan lebih 150,000 ahlinya mengundi bagi menentukan pemimpin tertinggi parti berkenaan.
"Sistem yang Umno buat adalah hasrat Presiden (Datuk Seri Najib Razak) yang ingin melakukan transformasi kerana selepas berapa lama guna sistem perwakilan," katanya.
"Ini menunjukkan lebih ramai lagi boleh mengundi, tiada parti dapat buat macam Umno, kita begitu berani," katanya.
Beliau turut menegur beberapa parti lain di luar Umno yang masih lagi mempunyai masalah dalam pemilihan parti.
"Ada sesetengah parti undi pun tidak berapa pandai, salah kira. Sistem Umno ini agak baik," katanya.
Hari ini bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, berkata pertandingan bagi merebut jawatan tertinggi parti adalah cara terbaik untuk barisan kepimpinan Umno mengukur kekuatan masing-masing di kalangan ahli.
Pemilihan Umno tahun ini akan menyaksikan delegasi seramai 146,500 orang dari 161 bahagian yang akan memilih kepimpinan parti.
Rafidah berkata,meskipun semua ahli bebas dan berhak untuk bertanding jawatan apa pun dalam parti, mereka tidak seharusnya bertanding jika semata-mata untuk menguji populariti atau ujian demokrasi.
“Jika kepimpinan tertinggi melakukan tugas dengan baik, maka semua ahli patut bersatu hati menyokong dan mengukuhkan parti,” katanya merujuk kepada Najib yang menjadi presiden parti sejak 2009.
Tetapi, katanya, jawatan lain termasuk mereka di sayap Umno seperti Pemuda dan Wanita, tidak ada sebab untuk menghalang sesiapa daripada menawarkan diri bertanding.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan