RAZIATUL HANUM A.RAJAK

SHAH ALAM – DAP menggesa Kerajaan Persekutuan menumpukan tugas polis untuk membanteras jenayah dan bukannya membuang masa menyiasat pemimpin pembangkang sedangkan penjenayah sebenar masih berleluasa.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mendakwa, tiga kejadian tembak yang berlaku semalam jelas menunjukkan peningkatan jenayah bukan lagi satu tanggapan sebaliknya sebagai bukti kegagalan polis.

“Tiga kejadian tembak yang berlaku termasuk pembunuhan Pengasas Arab Malaysian Bank Berhad, Hussain Ahmad Najadi,  di siang hari dan di tengah-tengah Kuala Lumpur itu membuktikan peningkatan jenayah bukan lagi satu tanggapan.

“Sebaliknya ia kegagalan polis yang memerlukan tindakan segera untuk menjauhi obsesi tidak sihat terhadap parti pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tiga kejadian tembak turut berlaku di Ipoh, Nibong Tebal dan Seremban.

Menurut Guan Eng, sebelum ini, polis telah menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat yang membenarkan samseng dibebaskan.

“Polis tidak boleh lagi menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat dalam pembunuhan Hussain kerana dia bukan penjenayah tapi seorang yang dihormati.

“Kejadian pembunuhan yang berlaku mengejutkan masyarakat Malaysia yang sedar kerajaan Persekutuan telah gagal menjamin keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu Kerajaan Persekutuan membenarkan polis menumpukan tugas membanteras jenayah dan tidak dieksploitasi sebagai alat politik BN.

“Masanya sudah tiba untuk kerajaan  membenarkan polis untuk fokus kembali pada tugas asal membanteras jenayah.

“Statistik tidak menipu dan ia tertulis pada jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen lalu.

"Beliau membentangkan, sebanyak sembilan peratus anngota polis ditempatkan di Jabatan Siasatan Jenayah, 3.8 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan 1.4 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial,”katanya.

Tambah Guan Eng: "tetapi beliau (Ahmad Zahid) menolak untuk menyebut bilangan pegawai polis di bawah Cawangan Khas."

Katanya lagi, hanya 9 peratus pegawai polis yang terlibat dalam membanteras jenayah di jalanan tidak boleh diterima.

“Sekurang-kurangnya, bilangan polis yang terlibat dalam banteras jenayah perlulah sebanyak 50 peratus, dengan kata lain, paling kurang  56,000 pegawai polis beruniform yang mengawal jalanan,” katanya.