Ahad, 28 Julai 2013

Unjuran terbaru KDNK bantut pertumbuhan ekonomi

 
Mier membuat unjuran lebih rendah tentang pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini; dari 5.6% kepada 4.8%. 



Unjuran terbaru yang dibuat sebuah institusi penyelidikan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang di bawah 5% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini merubah persepsi kita sama ada Malaysia mampu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Untuk mencapai taraf negara maju atau negara berpendapatan tinggi, pakar ekonomi menyusurkan ekonomi Malaysia harus berkembang secara purata 6% setahun untuk tempoh 10 tahun berturut-turut.

Namun Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) kelmarin membuat unjuran lebih rendah tentang pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini; dari 5.6% kepada 4.8%. Kadar pertumbuhan KDNK yang lebih rendah bermakna perkembangan ekonomi akan sedikit terencat atau terbantut dan sasaran lebih lambat untuk dicapai.

Pengarah Eksekutif Dr Zakariah Abdul Rashid berkata jangkaan pertumbuhan KDNK adalah lebih rendah berbanding jangkaan awal. (KDNK atau GDP diukur dari jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara).

Beliau berkata, ini adalah disebabkan pemulihan ekonomi global yang lemah, pertumbuhan ekonomi China yang semakin perlahan, kelembapan ekonomi negara-negara Asean, pasaran kewangan yang ‘volatile’ atau cepat berubah (naik-turun) dan sistem kewangan yang diperketatkan.

Melahirkan rasa prihatinnya terhadap pertumbuhan export yang perlahan, Zakariah berkata, pertumbuhan ekonomi dijangka rancak semula pada setengah tahun kedua tahun ini berdasarkan perbelanjaan dalam perniagaan yang semakin berkembang.

Beliau bagaimanapun, mengakui bahawa permintaan domestik (domestic demand) yang rancak memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya.

Mengenai pertumbuhan ekonomi untuk tahun depan, beliau menjangkakan pertumbuhan pada kadar di antara 5% hingga 5.5%. Jangkaan ini dibuat berdasarkan keadaan pertumbuhan ekonomi yang lemah, posisi kewangan dan fiskal yang ketat.

Sebagai sebuah negara yang bergantung kuat pertumbuhan ekonominya kepada perdagangan luar maka Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun tetap akan terkena tempias dari pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan perlahan.

Prestasi ekonomi China

Menurut Zakariah, prestasi ekonomi China turut mempengaruhi ekonomi kita memandangkan China kini muncul sebagai ekonomi terbesar selepas Amerika Syarikat setelah mengatasi kedudukan ekonomi Jepun.

Sejak lebih tiga abad lalu, KDNK China berkembang pada kadar purata 10% setahun.  China sendiri mengakui bahawa pertumbuhan pesat ini tidak dapat bertahan lama. Akibat perkembangan sektor hartanah yang pesat, China hari ini menghadapi masalah ‘over-leveraging’ iaitu keadaan peminjam banyak berhutang dengan bank.

Berlatarbelakangkan senario yang tidak menggembirakan ini maka ia memberi kesan kepada sasaran mencapai taraf negara maju seperti mana yang kita harap-harapkan selama ini.

Maka timbul persoalan, apakah jangkaan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa Malaysia boleh mencapai status negara maju lebih awal dari tahun 2020, atau lebih tepat sasarannya ialah pada tahun 2017, boleh dicapai?

Berdasarkan ujuran kadar pertumbuhan ekonomi yang semakin rendah yang dibuat Mier ini nampaknya agak sukar untuk mencapai status negara maju seperti mana yang disasarkan pada tahun 2020.

Faktor lain yang akan merencat atau membantut pertumbuhan ekonomi kita ialah keadaan defisit fiskal yang semakin luas dan membimbangkan. Ini dapat dilihat dari permohonan kerajaan untuk mendapatkan bajet tambahan sebanyak RM12.2 bilion bagi menambah perbelanjaan.

Melihat kepada statistik terbaru dari Kementerian Kewangan maka keraguan timbul sama ada kerajaan dapat menunaikan janjinya untuk mengurangkan kadar defisit belanjawan kepada 4% dari KDNK pada tahun ini dari 4.5% tahun lalu.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, kadar defisit fiskal negara sudah berada pada jumlah RM19 bilion atau 4.8% dari KDNK. Pada suku pertama tahun ini pula, defisit fiskal berada pada paras RM14.9 bilion atau 6.4% dari KDNK manakala hasil pula jatuh sebanyak 8.6% kepada RM43.8 bilion.

Lembaga Hasil mensasarkan kutipan cukai sebanyak RM130 bilion pada tahun ini tetapi untuk suku pertama tahun ini hanya RM27.4 bilion berjaya dikutip.

Cara lain untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara ialah dengan meningkatkan permintaan domestik. Dengan bahasa mudah, rakyat perlu berbelanja lebih dalam negara.

Hutang isi rumah

Tetapi permintaan domestik juga berdepan dengan masalah memandangkan kedudukan hutang isi rumah semakin membimbangkan kerana peratusannya dari pendapatan semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Komponen hutang isi rumah terdiri daripada pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi, kad kredit, barang-barang pengguna dan lain-lain.

Pada paras 83% dari KDNK pada tahun ini, situasi hutang isi rumah cukup membimbangkan kerana ia meningkat dari 80.5% tahun 2012 dan 70% pada 2009. Di Asia, selain dari Malaysia, China dan Korea Selatan mencatat kadar hutang isi rumah yang sangat tinggi.

Keadaan yang mencemaskan ini diakui oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan ketika ditanya para pemberita ketika menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim bersempena bulan Ramadan di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, Malaysia antara negara yang berhadapan dengan masalah hutang isi rumah yang meningkat berikutan sikap berbelanja rakyat negara ini yang tidak terkawal.

“Hutang isi rumah negara kita adalah tinggi berbanding negara jiran yang berhampiran. Ini kerana ramai pengguna yang berhutang dengan membuat pelbagai pinjaman antaranya pinjaman kad kredit, hutang peribadi dan sebagainya.

“Sebagai contoh hutang peribadi yang tidak terkawal boleh menyebabkan seseorang menjadi boros dalam berbelanja serta berbelanja melebihi batasan kemampuan pendapatan,” kata Ahmad Maslan.

Kadar hutang isi rumah yang semakin tinggi ini juga bermakna seseorang pekerja membawa pulang pendapatan boleh belanja (disposable income) yang semakin kurang. Pendapatan boleh belanja yang semakin kurang ini membuat kuasa beli seseorang pekerja ini semakin lemah dan terhakis.

Kekurangan pendapatan boleh belanja ini mengakibatkan negara mengalami masalah untuk melonjak ekonomi kerana permintaan domestik yang lembab sedangkan negara bergantung kepada permintaan domestik untuk memacukan pertumbuhan ekonominya

Tiada ulasan: