Ahad, 28 Julai 2013

Keperluan beras masih tidak mencukupi

FREE MALAYIA TODAY

Selain Penampang, banyak daerah lain di Sabah yang secara tradisinya pengeluar beras bertukar kepada aktiviti lain. 

 

Oleh Percy Goliu 

PENAMPANG:  Sepuluh tahun yang lalu, apabila Jalan Pintas Penampang mula dibuka kepada orang ramai yang berulang-alik ke pusat bandaraya, pemandangan di kedua-dua belah jalan raya itu kelihatan segar dan indah dengan kehijauan sawah padinya.

Apabila tiada aktiviti menanam, sawah itu ditumbuhi dengan rumput-rumput pendek dan kadang kala ia dikunjungi puluhan bangau putih yang mencari makanan di sana.

Penduduk kampung yang tinggal di sepanjang jalan itu menggunakan musim tidak menanam padi dengan mencari ikan keli, ‘hindung’, ‘kouk’, ‘badus’ atau apa saja ikan kecil yang hidup dalam air sawah. Ia adalah makanan orang kampung yang berkhasiat dan enak dimakan bersama nasi.

Malangnya, kehijauan itu kini bertukar menjadi warna putih konkrit dengan banyak rumah besar dan kecil serta bangunan komersial menempatkan kedai-kedai, pejabat serta infrastuktur tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Malah, loji rawatan kumbahan juga dibina atas sawah yang ditimbun tanah dekat jalan raya seluas 8.9 hektar.

Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan kawasan penanaman padi di beberapa kampung, termasuk di sepanjang Jalan Pintas ini digazet supaya pembangunan tidak dibenarkan bagi menggalakkan kegiatan menanam padi. Namun, nampaknya, kawasan itu tidak lagi menjadi jelapang padi Penampang kerana pembangunan rancak berjalan di sana-sini. Banyak sawah terbiar berubah wajah.

Pusat Teknologi Komersial Antarabangsa Penampang (ITCC) yang sedang dalam pembinaan di Jalan Pintas ini juga sudah pasti mengubah wajah daerah yang majoriti penduduk adalah kaum Kadazan, apabila siap pada 2015.

Pusat teknologi yang mengambil kawasan seluas empat hektar dan bernilai RM300 juta itu dibina atas sawah padi yang dikatakan terbiar.

Ia bakal menjadikan bandar ini sebagai pusat sehenti perniagaan dan produk berkaitan elektrik serta inovasi. Hotel, kedai, pejabat serta bilik persidangan juga dibina di pusat ini.

Kawasan perumahan mewah di Jalan Pintas turut dibina atas tanah sawah yang ditimbun dan dinamakan Taman Padi bagi menunjukkan bahawa kawasan itu suatu ketika dulu giat dengan aktiviti penanaman.

Punca pendapatan lain

Penampang yang ada kira-kira 150,000 penduduk dan suatu ketika dahulu majoriti penduduknya menanam padi, kini beralih kepada punca pendapatan lain. Ramai meninggalkan kegiatan bertani yang diamalkan nenek moyang mereka dan keluar bekerja dengan kerajaan atau sektor swasta.

Ada yang menjual tanah sawah kepada syarikat perniagaan atau membina rumah sendiri atasnya atau membiarkan saja tanah itu tanpa diusahakan.  Fenomena ini sudah lama berlaku dan bukan saja melanda Penampang.

Banyak daerah lain di Sabah yang secara tradisinya pengeluar beras seperti Tuaran, Tamparuli, Papar dan Tambunan kini menukar aktiviti di mana kebanyakan generasi muda lebih suka keluar bekerja untuk mendapatkan wang untuk membeli beras di kedai.

Kalau dulu, mereka tidak perlu membeli beras di kedai, kini hampir semua penduduk daerah ini akan berkata: “Saya pergi menuai padi di kedai.” Maknanya mereka membeli beras di kedai.

Membeli sehingga 20-40 kilogram padi setiap bulan dengan belanja di antara RM36 hingga RM80 dikira sebagai normal. Tidak perlu lagi bersusah payah bekerja keras dibawah terik matahari untuk mengusahakan seekar sawah yang boleh menghasilkan beras untuk kegunaan selama setahun.

Natijahnya, ramai membiarkan bendang tanpa diusahakan. Jika tidak ditumbuhi dengan bangunan, ia menjadi semak dan terbiar dan mungkin ada juga menjadi sarang ular tedung bertelur.

Ketika ramai berubah kegiatan daripada menanam padi kepada kegiatan lain hingga menyebabkan kira-kira 3,000 hektar sawah padi di seluruh Sabah terbiar, gambaran lebih luas ialah kita tidak cukup beras untuk menyara diri sendiri.

Pembangunan komersial 

Desakan penggunaan tanah-tanah sawah untuk tujuan pembangunan komersial dan infrastruktur asas di kawasan sub urban seperti Penampang, menggagalkan hasrat kerajaan untuk memperluaskan kawasan sawah di Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin berkata, keadaan ini menyebabkan Sabah kekurangan beras keluaran sendiri dan terpaksa mengimport beras dari China, India, Vietnam dan Thailand.

Penggunaan beras dalam negeri juga meningkat kerana pertambahan penduduk di mana pada tahun 2000, sebanyak 290,792 metrik tan digunakan dan meningkat kepada 302,695 metrik tan pada masa sekarang.
Kementerian menetapkan dasar kecukupan 60 peratus bekalan beras dalam negeri daripada pengeluaran tempatan. Malangnya, ia tidak cukup kerana tahap kecukupan masih di bawah paras 30 peratus.

Pengeluaran ini disumbangkan oleh 35,600 hektar tanah sawah padi seluruh negeri di mana kira-kira 10,400 hektar adalah kawasan yang mempunyai sistem pengairan dan saliran yang baik manakala 11,898 hektar mempunyai sistem pengairan dan saliran yang kurang baik dan 13,303 hektar lagi tanah sawah yang bergantung pada tadahan hujan.

“Sesuatu mesti dilakukan bagi memastikan keselamatan makanan negeri supaya mencukupi. Kementerian saya sedar dengan hakikat ini di mana kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada negara pengeluar beras.

“Walaupun Thailand dan Vietnam menghasilkan banyak komoditi itu, namun jumlah yang didagangkan di pasaran dunia amat sedikit. Ini membimbangkan kerana jika negara pengeluar dilanda bencana alam seperti banjir dan peperangan, mereka pasti mengurangkan pengeluaran dan ini akan menyebabkan kekurangan beras di dunia dan Sabah juga akan terjejas,” katanya.

Dunia menghasilkan 700 juta tan beras setiap tahun yang cukup untuk lebih tiga billion penduduk.

Masalah persaingan 

Buat masa ini, sukar mencapai kecukupan 60 peratus bekalan beras keluaran tempatan kerana kementerian berdepan dengan masalah persaingan permohonan menukar penggunaan tanah untuk tanaman industri seperti sawit dan lain-lain tanaman yang mengakibatkan keluasan fizikal sawah berkurangan.
Cabaran lain ialah perkhidmatan jentera yang belum mencukupi.

Antara tindakan kerajaan untuk mengatasi kekurangan ini ialah mencadangkan penanaman secara berfasa dan berjadual mengikut blok-blok yang dipersetujui serta melaksana langkah terbaik mengurangkan ancaman burung pipit yang menjejaskan hasil pengeluaran padi dengan meminta pesawah mematuhi jadual penanaman serentak.

Kementerian juga perlu menguatkuasakan pengekalan syarat gunatanah bagi tanaman makanan terutamanya padi. Padi bukit juga satu pilihan untuk menambahkan pengeluaran dan untuk menggalakkan penanamannya, subsidi pembelian input seperti baja harus diberi semula seperti yang pernah dilakukan ketika negara dilanda krisis ekonomi pada 2008.

Di masa depan, kerajaan bergantung kepada kejayaan pelaksanaan program tranformasi di mana menurut Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri, kementeriannya mengguna pakai konsep penyatuan dan menaiktaraf tanah untuk diusahakan secara produktif dan komersial.

Untuk ini, kerajaan negeri menaruh harapan kepada Kota Belud untuk mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus tahap kecukupan dalam masa tujuh tahun.

Kota Belud diumumkan sebagai satu lagi kawasan jelapang padi yang akan ditadbir Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).  Ia dimasukkan dalam projek EPP 11 (Entry Point Project) untuk padi komersial.

Pada masa ini, hasil daripada 12,200 hektar sawah padi di daerah ini ialah sebanyak 40,300 metrik tan padi atau 25,400 metrik tan beras.

“Menjelang 2020, seluas 5,000 hektar di daerah ini akan dapat ditanam dua kali setahun dengan jangkaan hasil meningkat dari lima tan sehektar kepada 8.5 tan sehektar. Angka ini mampu mengeluarkan sebanyak 91,600 metrik tan padi atau 57,000 metrik tan beras.

“Dengan pelaksanaan projek EPP 11 ini, pengeluaran beras di seluruh negeri dijangka turut bertambah daripada 85,000 metrik tan kini kepada 117,300 metrik tan pada 2020. Usaha ini diharap mampu menambah kecukupan pengeluaran beras sebanyak 40 peratus pada tahun itu,” katanya.

Tiada ulasan: