Rabu, 31 Julai 2013

Scorpene: Suaram dakwa Jasbir bohong

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Jasbir Singh Charld tidak bercakap benar apabila membela beberapa pihak dalam kes pembelian Scorpean, dakwa bekas Pengarah Eksekutif Suaram (Suara Rakyat Malaysia Suaram) Cynthia Gebriel.

Suaram mendedahkan Jasbir Singh Chahl telah dipecat sebagai perunding dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dari Perancis, yang kemudiannya digantikan dengan perunding pertahanan, Abdul Razak Baginda.

Malah, Jasbir juga bertindak memfailkan saman RM50 juta kepada Abdul Razak, yang kemudiannya diselesaikan di luar mahkamah, dakwa Penyelaras Suaram, Cynthia Gabriel.

Bercakap kepada media, Cynthia mendakwa Jasbir yang juga merupakan salah seorang saksi bagi kes kontroversi itu pada awalnya dilantik sebagai perunding bagi pembelian dua kapal selam Scorpene tersebut, bagaimanapun dipecat dari meneruskan rundingan tersebut.

"Kami harap Jasbir mengambil langkah seterusnya untuk mendedahkan semua perkara yang beliau tahu mengenai perolehan pembelian Scorpene tersebut, mengapa beliau dipecat dari rundingan tersebut, kerana beliau hanya bercakap secara terpilih tentang kes itu ketika ditemubual New Straits Time (NST), baru-baru ini," tegas Cynthia (gambar) pada satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina, petang tadi.

Dalam pada itu, Cynthia turut mengesa Jasbir menyatakan jumlah sebenar yang diterima Terasasi Sdn. Bhd. daripada syarikat pembina kapal, DSCN dalam perundingan pembelian Scorpene tersebut, sebelum Terasasi ditutup kemudiannya.

Terasasi merupakan satu syarikat yang ditubuhkan di Malaysia, di mana Jasbir merupakan salah seorang pengarahnya sebelum ditutup, dan kemudiannya dibuka semula di Hong Kong oleh Abdul Razak Baginda.

Menyentuh soal penterjemah Mongolia, Altantuya Shaarriibuu, Cynthia berkata Suaram tidak pernah mengatakan Altantuya sebagai penterjemah dalam urusan pembelian Scorpene tersebut, sebaliknya mempersoalkan apakah peranan sebenar Altantuya dalam skandal tersebut.

"Persoalan yang perlu dijawab, apakah peranan sebenar Altantuya dalam perundingan pembelian kapal selam itu jika ada, dan mengapa beliau dibunuh secara kejam," tegas Cynthia lagi.

Sehubungan itu, Suaram menuntut supaya gangguan terhadap Suaram untuk mencungkil kebenaran berhubung skandal Scorpene ini dihentikan oleh mana-mana pihak dalam usaha mendapatkan maklumat bagi rakyat Malaysia yang ingin tahu mengenai skandal ini.

Beliau juga mengessa Jasbir menjawab soalan yang dikemukakan selain menyatakan secara keseluruhan berkaitan rundingan pembelian kapal selam tersebut , dan tidak hanya memilih kepada beberapa perkara tertentu sahaja.

Selain itu, Cynthia turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak berdiam diri berhubung skandal ini, sebaliknya memulakan siasatan dalam usaha membanteras kes rasuah berprofail tinggi.

Tiada ulasan: