Ahad, 28 Julai 2013

Format baru pemilihan jadikan Umno lebih demokratik - Bernama

THE MALAYSIAN INSIDER
 


Format baru pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang memberi kuasa kepada 150,000 perwakilan memilih pemimpin mereka akan menjadikan parti itu lebih demokratik.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan (gambar), berkata ia penanda aras baru untuk Umno dan sememangnya ditunggu-tunggu peringkat akar umbi untuk membolehkan mereka menentukan pemimpin.

 "Dahulu kita ada dengan kegiatan yang tidak sihat seperti politik wang, dan dengan adanya perlembagaan baru ini, kegiatan itu dapat direda atau ditiadakan kerana sebegitu ramai yang akan memilih.

"Selain itu, antara kesan utama ialah ia melahirkan pemimpin Umno yang rajin turun padang kerana jika tidak berbuat demikian, rakyat tidak kenal dan mereka tidak akan berjaya dalam jawatan yang ditandingi baik Exco Pemuda, Puteri, Wanita dan MT," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian cawangan ke-399 Bank Simpanan Nasional dan berbuka puasa di Benut, Pontian petang semalam.

Menurutnya, format pemilihan baru itu juga menjadikan muka baru yang ingin bertanding lebih kerap turun padang berjumpa rakyat untuk memperkenal diri mereka.

"Jika mereka banyak melakukan kerja-kerja NGO, melakukan kerja amal dan mempunyai jasa tertentu barulah dapat diterima ratusan ribu ahli Umno di peringkat bawahan.

"Ia tidak menyekat orang baru asalkan orang baru ada sedikit sebanyak jasa dan usaha kepada masyakarat. Ini akhirnya menjadikan Umno sebagai parti yang memiliki pemimpin aktif bertemu rakyat," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan 150,000 perwakilan supaya melakukan pilihan terbaik kerana ia bakal menentukan hala tuju parti pada masa akan datang. - Bernama

Tiada ulasan: