Sabtu, 12 Januari 2013

Ustaz Hadi tidak minta buat penjelasan





Oleh Subky Latif 

YANG gatal minta TG Haji Abdul Hadi Awang membuat penjelasan tentang Amanat Haji Hadi ialah UMNO dan sekalian kompeninya.Apabila amanat terpendam itu dibangkitkan Tok Guru lebih selesa berdiam diri. Dibiarkannya semuanya menyalak.

Bukan dia yang gatal mulut minta membuat penjelasan. Yang gatal ialah UMNO dan sekalian kompeninya. Menteri Rais Yatimlah yang galak sangat.

Kerana kompeni-kompeni itu hendak sangat penjelasannya, mahu tak mahu beliau memberikan syarat; beri peluang sejam kepadanya bersiaran secara langsung di TV.

Syarat Ustaz Hadi itu meletup dan mungkin bagi sekalian kompeni lebih bingit dari ledakan letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki hampir 70 tahun lalu.

Yang mahu sangat penjelasannya itu ialah sang kompeni. Orang-orang di sekeliling Ustaz Hadi merendah diri, tidak usahlah khazanah terpendam itu dirong-rongkan. Hadapilah PRU13 nanti dengan isu-isu yang sedia ada.

Undang-undang dan demokrasi memberi pilihan kepadanya untuk tidak menjawab. Ia adalah haknya.
Sekarang tuan badan sudah bersedia memenuhi tuntutan kompeni. Beri satu jam kepadanya muncul di kaca TV. Tidak kurang seminit dan tidak lebih seminit.

Maka kelam kabut UMNO, kerajaan, TV dan pacal-pacal kompeni mencari dalih menolaknya.
Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda UMNO membuat penolakan awal. Tidak dipastikan adakah dia termasuk orang yang hendak sangat penjelasan dari pemilik amanah itu?

Tetapi kalau diizinkan Tok Guru bercakap di TV semuanya keliru. Sebenarnya sekarangpun ramai yang keliru. Yang membangkitkan isu itu keliru, yang minta penjelasan memang keliru, habis mufti pun keliru.

Jika semua orang keliru termasuk yang sudah keliru sekarang, mungkin ia baik pada UMNO. Mereka tidak dapat memahami yang Ustaz Hadi cuba sampaikan. Selagi mereka keliru dan tidak memahami, maka mereka selama-lamanya akan Tok Guru itu orang curang dan mereka terus membencinya. Eloklah untuk UMNO jika mereka terus kegelapan.

Khairy dipercayai bimbang Ustaz Hadi dapat memusingkan kekeliruan mereka hingga menjadi orang yang faham. Bila mereka faham, maka mereka menyukai amanah itu. Mereka akan keluar beramai dari kegelapan kepada kebenaran.

Bagi satu jam kepadanya, nescaya ramai yang jelas dengan apa sebenarnya amanah itu. Jika diberi dua jam, bertukar semuanya dari penentang menjadi peminat.

Mereka hendak memerangkap pemimpin PAS itu. Tetapi beliau mempertahankannya tanpa tampil membuat penjelasan. Sekarang beliau sudah bersedia tetapi melalui siaran langsung sejam di TV. Syaratnya itu memerangkap sekalian yang mintanya membuat penjelasan.

Saya teringat kisah Abu Jahal cuba memerangkap Nabi SAW. Dia menggali lubang di hadapan rumahnya. Dimuatkannya barang-barang tajam dan menutup permukaan lubang itu. Diapun mengaku sakit dan minta orang memanggil baginda untuk mengubati penyakitnya, dengan harapan jika baginda datang nescaya terjatuh di lubang dan cedera.

Baginda pun datang. Sebelum baginda mendapat wahyu tentang perangkap yang dipasang untuknya. Baginda berpatah balik. Abu Jahalpun menyinga lalu tak tentu arah. Semasa dia hendak keluar rumah, dia lupa perangkapnya. Dia terperangkap. Dia tidak dapat dikeluarkan dari perangkapnya hingga baginda datang menyelamatkannya.

UMNO yang gatal mahu memerangkap Ustaz Hadi. Ustaz Hadi tidak masuk perangkap tetapi mereka yang terperangkp.

Tiada ulasan: