Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR - Polis mesti telus menjaga keselamatan wartawan pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini, bukan menyekat kebebasan mereka membuat liputan, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
Ia ekoran wartawan yang akan membuat liputan HKR diarah memakai pas khas yang disediakan polis supaya mudah dikenalpasti.
Langkah itu menurut polis sebagai usaha untuk mengelak berulang kejadian petugas media dipukul anggota polis seperti yang berlaku semasa perhimpunan Bersih 3.0.
“Kita harap dengan pas itu, polis akan mengenal pasti para petugas media dan ini bermakna tiada lagi alasan untuk mereka kata tersilap pukul seperti yang terjadi dalam Bersih 3.0,” kata Presidennya, Chin Sung Chew.
Justeru, beliau berharap agar tujuan ‘mudah dikenalpasti’ bukan alasan untuk menyekat kebebasan wartawan membuat liputan.
“Tindakan itu tidak patut. Kita harap polis telus dalam mengeluarkan arahan tersebut, khusus untuk menjaga keselamatan wartawan,” katanya.
Dalam himpunan Bersih 3.0 28 April tahun lalu, selain orang ramai, turut menjadi mangsa keganasan polis adalah di kalangan wartawan.
Polis juga memaksa jurugambar memadam gambar yang dirakam malah ada juga bertindak merampasnya.
NUJ turut menerima 12 laporan daripada petugas media mengatakan mereka diserang polis semasa perhimpunan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan