Sabtu, 12 Januari 2013

SPR: PRU13 paling sengit

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

Sinar Harian 12 Januari
Muka depan Sinar Harian hari ini
 
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan berlangsung tidak lama lagi sebagai PRU paling getir dan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara, sejak 1959.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR beranggapan begitu kerana parti-parti bertanding hari ini dilihat sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan calon mereka menang.

Menurutnya lagi, cabaran ini ditambah lagi dengan penglibatan agresif pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu parti sokongan mereka.

“Pada Pilihan Raya Umum 2008, parti pembangkang belum menjadi kerajaan. Mereka masuk pilihan raya (masa itu) dengan harapan boleh menang.

“Kali ini (pada PRU13), mereka sudah menjadi kerajaan di beberapa negeri dan cita-cita mereka bertambah besar. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk menang kali ini.

Begitu juga pihak sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu beliau menghadiri majlis taklimat PRU13 kepada pengurusan editorial Sinar Harian dan Sinar Harian Online di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

Wan Ahmad menasihatkan NGO-NGO tertentu yang sanggup mengumpul ribuan sukarelawan untuk memantau perjalanan PRU13 supaya tidak mengganggu proses pilihan raya yang telah ditetapkan undang-undang.

“Sukarelawan ini, jika aktivis politik pun, tidak semestinya mereka tahu undang-undang. Mereka rasa mereka rakyat, jadi mereka boleh mengacau proses pilihan raya. Perkara-perkara ini boleh menjadi punca pencetus keadaan tegang,” katanya.

Mengenai bajet RM400 juta yang telah diperuntukkan kepada SPR untuk mengadakan PRU13, Wan Ahmad menegaskan jumlah tersebut bukanlah kos sebenar yang akan dibelanjakan.

Katanya, jumlah tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Perbendaharaan Negara bagi memastikan kewangan SPR mencukupi untuk menjamin perjalanan pilihan raya berjalan dengan baik dan lancar.

“Oleh kerana banyak perkara baru yang diperkenalkan kali ini, kita tidak mahu memandang remeh perkara-perkara tersebut. Kita mahu adakan pilihan raya selancar mungkin.

“Jumlah perbelanjaan sebenar hanya diketahui selepas pilihan raya. Selalunya perbelanjaan lebih rendah daripada yang diperuntukkan,” katanya.

Kata Wan Ahmad, perbelanjaan pada PRU 2008 lalu adalah RM250 juta.

Ditanya apakah caranya untuk mengurangkan kos pilihan raya, Wan Ahmad menegaskan ia sukar dikurangkan kerana jumlah pengundi, petugas dan logistik semakin bertambah.

“Kalau kita boleh rendahkan kos, ia adalah melalui kos pengangkutan. Sekarang kos meningkat kerana kita terpaksa membawa cikgu-cikgu yang akan bertugas menjadi petugas SPR untuk latihan. Kita kena adakan latihan untuk mereka di seluruh negara.

“Ada yang terpaksa menyewa hotel dan bas. Kosnya bukan sedikit. Begitu juga jika petugas merasakan perlu ada latihan ulangan, SPR kena adakan latihan tersebut. Kita tidak boleh kata baca manual sendiri. Kita tidak boleh ada sebarang kesilapan,” katanya.

Dewan Rakyat akan terbubar dengan sendirinya pada 28 April 2013, kecuali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkannya lebih awal. Selepas pembubaran, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan PRU.

Pada PRU13 ada 13.26 juta pengundi berdaftar. Terdapat 8,139 pusat mengundi di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Tiada ulasan: