Harakahdaily, |
Demikian saranan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.
Justeru, beliau merasa simpati kepada Utusan Malaysia kerana kerap kalah di mahkamah dan terbaru adalah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas akhbar tersebut di atas kesalahan memfitnah ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu laporan di akhbar tersebut awal tahun lalu.
Katanya, dengan siri kekalahan Utusan Malaysia di mahkamah, apalah malang bagi rakyat Malaysia memiliki akhbar nasional yang rendah mutunya sehingga boleh dibakulsampahkan.
“Hampir setiap kes yang dibawa di mahkamah, akhbar ini kalah dan terpaksa membayar gantirugi.
“Selepas ini berapa banyak lagi kes akan dibawa ke mahkamah dan berapa banyak lagi kes Utusan akan kalah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, beliau sendiri merasa malu untuk menatap dan membaca akhbar tersebut.
“Saya merasa malu akhbar ini dijadikan akhbar rasmi di mana-mana perpustakaan, dihidang disekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, dijual di kedai-kedai buku ternama, malah dijual di kedai kaki lima, seolah-olah apa yang dibaca dan ditatap oleh rakyat adalah akhbar pembawa berita palsu dan penyebar fitnah tersohor di negara ini,” ujarnya yang juga seorang peguam.
Menurutnya, reputasi Utusan di mata rakyat kini sudah jatuh merudum.
“Apakah ada berita yang ada dalam akhbar itu boleh dipercayai lagi?” tanya beliau,
Kerana itulah, ujarnya ada rakyat yang nakal membaca akhbar Utusan secara terbalik, sama ada benar-benar terbalik atau memahami maksud Utusan dari sudut yang terbalik.
Jika benar kata akhbar tersebut, kata beliau maknanya berbohonglah ia, jika bohong kata Utusan maka benarlah berita itu.
Sepatutnya, tambah beliau lagi keputusan mahkamah itu menjadi suatu pengajaran paling berharga buat Utusan atau mana-mana akhbar, termasuk media televisyen dan radio.
Beliau berkata, budaya fitnah, menokok tambah cerita, mengadu domba, dan melaga-lagakan pemimpin adalah budaya liar yang ditolak oleh masyarakat negara ini.
Katanya, rakyat tidak menerima sama sekali budaya pemberitaan yang dibohongi bagi menyenangkan pihak tertentu.
“Saya nasihatkan Utusan supaya ‘gulung tikar’ atau tutup sahaja akhbar tersebut daripada menanggung malu di samping kos yang banyak untuk membayar saman di mahkamah, lebih baik Lembaga Pengarah Urusan Utusan berbincang untuk menjalankan perniagaan lain yang lebih menguntungkan.
“Lebih baik menjadi sebuah majalah dakwah alternatif untuk kepentingan umat Islam di negara ini, setidak-tidaknya ada juga manfaat dan pahalanya kepada umat Islam,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan