KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Stadium Merdeka adalah lambang untuk memerdekakan rakyat dari Umno BN.Katanya, stadium bersejarah adalah tempat keramat kemerdekaan Malaya diisytiharkan kembali mengukir detik kebangkitan rakyat.
“Kini kita bukan lagi ingin merdeka dari penjajah. Kita ingin merdeka dari rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan Umno BN.
“Bukan hanya Melayu boleh jaga Melayu, Cina jaga Cina, India jaga India, Iban jaga Iban. Kita ingin buktikan (semua) rakyat Malaysia boleh jaga satu sama lain,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu disambut sorakan peserta di dalam dan luar stadium.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya rakyat berterusan memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat (PR) bagi mencapai misi mentadbir negara.
“Ulangi impian kita, hari ini kita buktikan kenapa BN perlu dikalahkan. Sudah sampai masa selepas 55 tahun bahawa rakyat Malaysia cintai keharmonian, jangan dengar ucapan BN.
“Hari ini hari bersejarah untuk ke arah Malaysia bersatu di mana rakyat hidup bermaruah dan integriti untuk seluruh negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.
Antara pemimpin yang hadir bersama dalam HKR itu antaranya, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan