Jumaat, 18 Januari 2013

Dr M: Jika terima sepina, saya akan hadir dalam inkuiri


Tun Dr Mahathir memberitahu beliau bersedia memberi keterangan andai disepina. — Gambar fail
 
SHAH ALAM — Tun Dr Mahathir berkata sedia memberikan keterangan dalam inkuiri Suruhanjaya Diraja pemberian kad pengenalan kepada pendatang haram di Sabah sekitar 1993-1994 jika beliau disepina dan menegaskan tidak akan menolaknya.
 Menurut Mahathir perkara tersebut pernah dilakukannya sebelum ini semasa memberikan keterangan dalam inkuiri suruhanjaya siasatan video Datuk V.K. Lingam beberapa tahun lalu.

“Belum. Belum lagi tapi jika mereka suruh saya pergi, saya akan pergi.

“Saya tidak pernah menolak sebarang sepina terhadap saya. Saya pernah menghadiri semasa memberikan keterangan sebelum ini, tapi melibatkan siasatan lain,” kata Mahathir dalam sidang media di Karangkraf petang tadi.

Mantan perdana menteri sebelum itu turut menyatakan pendiriannya memberikan status kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah adalah mengikut undang-undang dan tidak menyalahi mana-mana peruntukan.

“Semasa saya jadi perdana menteri, memanglah saya berkuasa menentukan pelaksanaan dasar kerajaan.
“Kerajaan menerima warga asing jadi warganegara jika memenuhi syarat tertentu, malahan mereka yang berada di sana bukan satu dua hari tetapi sudah 20-30 tahun dan mereka bercakap bahasa Melayu, berhak jadi rakyat Malaysia,” kata beliau.

Semalam, keterangan saksi bekas timbalan pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Nasir Sugip mendedahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengarahkan JPN menukar nama 16,000 pendatang haram di Sabah dan untuk memberikan mereka kad pengenalan (IC).

Seorang lagi bekas pegawai JPN, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil turut mendedahkan kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada tahun 1993.

Malahan, bekas pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin juga menuduh arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Mahathir merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui “Projek IC”, di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke 1985, menafikan kewujudan “Projek IC” tersebut.

Pilihan raya negeri Sabah 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.

Akan tetapi tidak lama selepas itu beberapa ahli dewan undangan negeri PBS menyertai Barisan Nasional (BN) menyebabkan kerajaan PBS jatuh.

Tiada ulasan: