Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) bertegas
tetap mahu memantau proses pilihan raya terutama melibatkan penipuan
oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ahli
Jawatankuasanya, Maria Chin Abdullah berkata, agensi itu tidak boleh
dipercaya ekoran banyak penipuan berlaku pada musim pilihan raya
terdahulu, oleh itu badan bebas seperti Pemantau diperlukan untuk tujuan
demikian.
“Kita yakin SPR tidak telus memastikan PRU 13 bersih dan adil, sebab
itu perlunya badan bebas seperti kami,” jelas Maria yang juga Ahli
Jawatankuasa Pemandu Bersih.
Beliau membidas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan
Omar yang memberi amaran kepada Pemantau agar tidak mengganggu proses
PRU 13.
Menurut Wan Ahmad, pihaknya tidak akan membenarkan sukarelawan Pemantau memasuki kawasan penamaan calon atau pusat mengundi.
“Kita
bukan nak masuk kawasan mengundi. Kita hanya akan memantau dari luar.
Kalau SPR buat kerja dengan baik dan telus, kenapa perlu takut?” soal
Maria ketika dihubungi.
“Sebagai rakyat, Pemantau mengambil inisiatif dan meminta pertolongan
rakyat untuk memastikan pilihan raya berjalan bersih dan adil,”
katanya.
Menurut Maria, tujuan utama Pemantau untuk mengurang dan menghentikan sebarang bentuk penyelewengan dalam PRU 13.
“Kalau SPR baca dokumen antarabangsa, ada lebih kurang 90 negara yang
mempunyai pemantau bebas, dan mereka tiada masalah,” katanya.
“Ini juga peringatan kepada SPR supaya buat kerja lebih telus dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak,” tambahnya.
Pemantau dilancarkan 8 Januari lalu. Sekurang-kurangnya 10,000 sukarelawan akan direkrut untuk menjadi pemerhati dalam PRU 13.
Kempen tersebut digerakkan hasil gabungan Bersih 2.0, Malaysian for
Free and Fair Elections (Mafrel), Pusat Komas dan Citizens for
Independent Journalism (CIJ).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan