Sehubungan itu, badan pengendali pilihan raya mahu Pakatan Rakyat (PR) mencuba terlebih dahulu kaedah rakaman dan memberi peluang untuk melaksanakannya sebelum sangsi dan menolak bulat-bulat.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, usaha pihaknya mendapatkan ruang bagi menyiarkan manifesto untuk semua parti harus diteruskan sebelum membuat andaian negatif.
Menurut Abdul Aziz, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ruang bagi kesemua parti menyiarkan manifesto mereka melalui beberapa televisyen kerajaan dan ia dilihat sebagai satu langkah yang baik.
"Saya dah berusaha dapatkan ruang itu, baik kita gunakan peluang ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan komen-komen yang negatif.
"Kita cuba dahulu. Kalau betul seperti yang dikatakan oleh pihak tersebut, bolehlah buat komen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.
Abdul Aziz berkata lagi, sekiranya menifesto yang disiarkan oleh mereka diputarbelitkan oleh pihak penyiar, parti tersebut boleh membuat atau mengeluarkan kenyataan negatif itu.
Dalam pada itu, Abdul Aziz melihat perkembangan ini adalah baik jika kesemua parti politik diberi peluang menyiarkan manifesto mereka untuk tatapan rakyat.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan yang dibuat oleh Abdul Aziz tidak menepati tuntutan Bersih 3.0 dan sekiranya perkara tersebut dilakukan, manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Abdul Aziz berkata, rakaman yang dibuat sebelum disiarkan adalah peraturan yang biasa dilakukan oleh semua orang sebelum disiarkan dan bukan disebabkan faktor politik.
"Ucapan saya sendiri dirakam dan disunting terlebih dahulu sebelum disiarkan terus melalui televisyen.
"Ini adalah peraturan biasa yang dilakukan oleh pihak penerbitan dan bukan disebabkan faktor politik," katanya lagi.
Beliau berkata, pihak SPR sendiri tidak setuju sekiranya manifesto yang disiarkan diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang didakwa Mustafa dan SPR juga akan mengambil tindakan untuk masalah itu.
"Datuk Mustafa jangan berfikiran seperti itu, kita cuba dulu kalau jadi seperti itu parti politik boleh maklumkan kepada kami," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan