Sabtu, 30 Jun 2012

Anwar beri keterangan kes saman Khairy RM100 juta

SINAR HARIAN

Anwar_Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan dalam kes saman RM100 juta beliau terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung dakwaan mengeluarkan perkataan berunsur fitnah yang dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk Malaysiakini.com, menerusi klip video.

Peguam J. Leela, yang mewakili Anwar, memberitahu pemberita bahawa ketua pembangkang itu dan seorang wartawan akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

Leela berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan 14 dan 20 November untuk mendengar kes saman itu selepas bertemu beliau dan peguam Faizal Faiz, yang mewakili Khairy, di dalam kamarnya.

Hakim turut memerintahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan ringkasan kes, senarai saksi dan isu yang akan dibicarakan, katanya.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dengan mendakwa defendan, ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and Kin No Threat', dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Anwar memohon RM100 juta dalam ganti rugi teruk dan teladan, selain relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bersandar kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Beliau berkata, sebagai Naib Ketua Pemuda Umno ketika itu, beliau mempunyai tanggungjawab perundangan, moral dan sosial kepada masyarakat dan orang Melayu, dan orang awam mempunyai kepentingan yang sah yang bersamaan dalam penerimaan maklumat berkaitan perkara dalam perbincangan yang memberi kesan kepada sosial, ekonomi dan politik. - Bernama

Tiada ulasan: