Khamis, 28 Jun 2012

Shahrizat diminta fail pernyataan balas

FREE MALAYSIA TODAY

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan sehingga 13 Julai untuk Shahrizat berbuat demikian.




KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memfailkan pernyataan balas terhadap pembelaan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan sehingga 13 Julai untuk Shahrizat berbuat demikian dan juga sebagai tarikh pengurusan kes.

Sebelum ini, Vazeer telah menetapkan 6 Ogos untuk perbicaraan kes.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung NFC atau syarikat-syarikat bersekutu.

Ketua Wanita Umno itu mendakwa kedua-dua defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk “serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif” dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau.- Bernama

Tiada ulasan: