Rabu, 27 Jun 2012

Pelawak veteran Aziz Satar stabil, Osman kritikal

SINAR HARIAN

Datuk Aziz Sattar
Datuk Aziz Sattar
 
 
KUALA LUMPUR - Keadaan artis veteran Datuk Abdul Azez Satta atau lebih dikenali sebagai Aziz Satar, yang menerima rawatan jantung di Hospital Ampang sejak Sabtu lepas, dilaporkan stabil.

Aziz, 87, yang ditempatkan di Unit Rawatan Jantung (CCU) hospital berkenaan, masih tidak boleh menerima pelawat kecuali anggota keluarga terdekat.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil atau dikenali sebagai Zed Zaidi yang berada di hospital berkenaan hari ini bagi menyampaikan sumbangan kepada anggota keluarga Aziz, berkata keadaan artis veteran itu disahkan anaknya.

Aziz dilaporkan dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengadu sakit dada dan tidak sedap badan pada Sabtu lalu.

Aziz adalah antara pelakon dan pelawak yang popular dan pernah membintangi beberapa filem bersama Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee seperti Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Nasib Labu Labi.

Sementara itu, pelakon dan pelawak Osman Kering atau nama sebenarnya Osman Kassim, 58, pula dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat komplikasi paru-paru, jantung dan saluran darah tersumbat.

Isteri beliau, Che Norhayati Che Omar,48, berkata tekanan darah dan nadi suaminya tidak stabil.

"Suami saya dirawat di HUKM sejak 11 Jun lepas masuk hari ini telah 16 hari dan doktor juga mengesahkan suami saya terkena jangkitan paru-paru dan jangkitan pada buah pinggang," katanya.

Antara filem yang dibintangi Osman Kering ialah Kantoi, Senario The Movie I, Tentang Bulan dan Man Laksa.- Bernama

Tiada ulasan: