Sabtu, 30 Jun 2012

Salahuddin: Tanding di Johor bukan 'bunuh diri'

SITI NOOR SEPEE

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
 
 
JOHOR BAHRU - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, keputusan meninggalkan Parlimen Kubang Kerian, yang dilihat sebagai kawasan selamat untuknya dan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), bukan satu tindakan "membunuh diri."

Beliau menegaskan, keputusan itu adalah muktamad walaupun ada pihak yang menyifatkan tindakannya itu sebagai satu keputusan mahu membunuh diri.

“Saya tidak akan berpatah balik daripada keputusan untuk meninggalkan Kubang Kerian, seterusnya membawa balik apa yang saya belajar ke Johor walaupun ada yang mengatakan saya cuba membunuh diri.

“Kita akan lihat siapa yang akan dibunuh dan siapa akan terbunuh? Menang atau kalah dalam pilihan raya adalah adat bertanding dan kita akan tetap meneruskan perjuangan untuk memartabatkan Islam dan orang Melayu," katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam ucapannya bersempena Jamuan Makan Bersama Tok Guru di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, Tampoi di sini, semalam.

Bagaimanapun Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak dapat hadir pada majlis itu.

Beliau turut menyifatkan Kelantan sebagai sebuah universiti politik buatnya, selain bertekad mahu menghapuskan politik samseng, fitnah dan tidak sihat yang diamalkan oleh pihak tertentu.

Walaupun berhijrah untuk bertanding di negeri kelahirannya, Salahuddin berjanji akan terus berjuang menuntut hak rakyat Kelantan terutamanya mengenai isu royalti minyak.

Pada program anjuran Persatuan Anak Kelantan PPR Kempas itu, beliau memberitahu, sokongan terhadap Pas semakin meningkat termasuk daripada golongan artis.

Selain Bob Lokman dan Hairie Othman, beliau turut menyebut beberapa nama lain yang dikatakan bakal menjadi ahli Pas seperti Abby Abadi, Syarifah Aini dan Ning Baizura, namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai pengumumannya itu.

Tiada ulasan: