Penulisan kali ini adalah satu coretan minda saya sejurus apabila membaca beberapa laporan berita sosio politik negara tanah tumpah darah kita. Saya menjurus kepada beberapa laporan seumpana ini, Khaled stands by earlier decision to freeze PTPTN for Selangor dan disusuli dengan ini A test for S’gor govt to provide free education. Satu sandiwara politik perdana dipertontonkan kepada warganegara berhubung isu ini.
Walau bagaimanapun, kritikan ini tidak hanya tertumpu kepada insiden ini sahaja tetapi juga kepada pelbagai lagi isu national dan lokal lain yang membingungkan serta membawa tafsiran bahawa kita tergolong dalam budaya dunia ketiga melalui perilaku politik sempit sedikian rupa. Natijahnya, rakyat yang menjadi mangsa dan seumpama jatuh ditimpa tangga.
Mengapa keadaan ini boleh berlaku? Bagi menjawab soalan ini, saya akan cuba mengkomunikasikan pengamatan dan pengetahuan terbatas saya untuk mengaitkan kepada situasi ketandusan negarawan ini. Berikut adalah beberapa tenet mengapa fenomena ini berlaku:
1. Amalan politik partisan berlebihan
2. Praktis politik bersifat Neo feudal (patrion-client)
3. Sentiasa diselubungi dengan politik berasaskan kaum dan politik perkauman
Sifat dan fenomena politik sedemikan melahirkan politik yang sangat konservatif serta anti-kreatif yang mana banyak idea-idea dan pandangan ahli politik lawan boleh diguna pakai demi kebajikan rakyat jelata tidak diambilkira dalam proses pembangunan nasional. Kecenderungan yang amat tinggi sebegini dapat dilihat di negara tanah tumpah darah ini dengan mudah, lihat sahajalah kepada cara perdebatan di parlimen kita.
Yang merugikan ialah kepada pihak rakyat, yang perlu tanggung segala baik dan buruk perilaku mereka. Jika dibenarkan amalan politik partisan berlebihan ini berlarutan ia akan melahirkan lebih banyak ahli politik yang kurang kaliber dan lebih bahaya lagi ialah pelaksanaan dasar-dasar negara yang kurang bersifat mesra rakyat dan hanya menjaga kebajikan golongan tertertentu sahaja.
Kedua ialah praktis politik yang sangat bersifat Neo feudal (patrion-client). Maksud saya apabila merujuk kepada sifat patrion-client ialah sikap dan amalan ahli politik yang seakan-akan Tuan besar yang mempunyai pengaruh dan kuasa besar terhadap masyarakat yang diwakili mereka. Kebanyakan ahli politik ini mempunyai askes kepada kehendak ekonomi, material dan infastruktur untuk mendapatkan sokongan politik mereka.
Hanya melalui beberapa kemajuan yang dibawa masuk oleh ahli politik, masyarakat setempat mengangkat tinggi dan mereka dilihat sebagai wira setempat kawasan yang diwakilinya. Ini memberi ruang yang selesa kepada ahli politik tersebut untuk terus mengekalkan kerusinya di kawasan tersebut. Melalui permainan politik sebegini ahli politik tidak perlu bekerja keras untuk mengekalkan jawatan politiknya dan secara spontan keadaan ini merugikan rakyat di peringkat nasional jika terdapat ramai aktor politik seperti ini, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Keadaan ini juga membenarkan mereka berfikiran dan mengamalkan sikap acuh tak acuh kepada kaum dan angota masyarakat lain. Malah soal kepentingan serta kebajikan angota masyarakat lain menjadi isu kurang relevan kepada ahli politik sebegini. Keadaan seterusnya menyebabkan ahli politik sedemikan kurang perihatin dan tidak berfikiran bersehaluan dengan konsep seorang negarawan yang lantas mementingkan kebajikan rakyat pada setiap masa.
Merangkap ketiga-tiga tenet utama ini, menyebabkan ahli masyarakat negara ini terlalu bergantung kepada kepimpinan politik untuk merealisasikan kehendak mereka. Keadaan ini menjadi penyumbang besar kepada ketandusan negarawan dalam negara tanah tumpah darah ini. Pada masa yang sama kerangka idea politik sebegini melahirkan budaya meninggikan ahli politik secara membuta tuli walaupun mereka hanya sibuk perkayakan diri dan keluarga mereka sendiri.
Baiklah sehubungan ini, ternyata negara ini memerlukan lebih ramai Negarawan berbanding ahli politik bercabang lidah yang pandai mementaskan lakonan politik sahaja. Ramai ahli politik yang mampu berfikir dan mengamalkan konsep Negawaran harus dipupuk yang mana kebajikan serta kepentingan rakyat diberi keutamaan berbanding menjaga politik partisan, kepartian dan aspirasi politik peribadi sahaja. Hanya melalui pemimpin sedemikan banyak dasar yang benar-benar mesra rakyat, dapat dijana serta dilaksanakan secara saksama.
Berpijak di bumi yang nyata, rata-rata rakyat negara tanah tumpah darah ini tidak bermimpikan untuk mendapat peneraju seperti, Pericles (Yunani), Abraham Lincoln (Amerika Syarikat), Mahatma Gandhi (India) atau Winston Churchill (Britain) tetapi seorang yang mampu memandu rakyat jelata ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan menghormati prinsip demokrasi. Pada masa yang sama mentadbir dan mengendalikan negara tanpa gejala rasuah.
*Pradeeb Kumar ialah Acedemic felo, Universiti Sains Malaysia yang kini berada di Humboldt-Universität zu Berlin, Germany.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan