Rabu, 27 Jun 2012

Bookie Euro: Ibu dua anak dicekup

Wartawan Sinar Harian

Bookie Euro: Ibu dua anak dicekup
Wang pertaruhan dan catatan pertaruhan.
 
 
BUKIT PELANDOK – Kelekaan seorang ibu kepada dua anak melayan panggilan telefon dipercayai menjadi dalang bookie perlawanan bola sepak Euro 2012 di Kampung Cina, Bukit Pelandok berakhir apabila kediamannya diserbu   Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.15 malam itu, wanita berusia 29 tahun itu dikatakan sedang asyik menerima tempahan membabitkan perlawanan England menentang Itali yang berlangsung awal pagi semalam membabitkan jumlah pertaruhan RM400,000. Sumber polis berkata, ketika ditahan wanita yang juga pemilik sebuah kedai telefon di sini dipercayai sedang mengutip wang pertaruhan daripada pelanggannya.

“Dalam operasi berkenaan, polis melakukan intipan selama beberapa minit dan sepanjang tempoh itu suspek didapati leka melayan panggilan telefon dipercayai daripada pelanggannya.

“Dia juga dilihat mencatatkan sesuatu ke atas kertas dan mengutip sejumlah wang pertaruhan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, ketika serbuan ibu bapa suspek dipercayai enggan memberikan kerjasama dengan menyembunyikan suspek di sebuah bilik berasingan.

“Ibu suspek bagaimanapun mula memberikan kerjasama apabila dipujuk polis dengan membuka gril rumah. Sebaik grill dan pintu bilik berkenaan dibuka, polis menemui suspek yang sedang leka menggunakan telefon dan mencatat  sesuatu pada kertas pertaruhan,” katanya.

Menurutnya, jumlah keuntungan diperoleh suspek sangat tinggi menunjukkan ramai yang terpengaruh dan terpedaya untuk bertaruh sebelum kehilangan wang pertaruhan.

“Suspek mungkin sudah bergiat aktif melakukan kegiatan haram ini sejak lebih setahun lalu dan turut dipercayai menjadi bookie bagi liga tempatan dan Inggeris.

“Polis masih berusaha mengesan kaitannya dengan sindiket judi bola sepak lain di negeri ini,” katanya. Malah katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM13,000, seunit komputer riba, seunit jalur lebar (broadband), telefon bimbit (dua unit), kertas putih mengandungi catatan pertaruhan dan alat tulis.

“Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau tidak melebihi RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari terbabit dengan pertaruhan bola sepak kerana ia belum tentu menjamin kehidupan lebih baik atau memberikan pulangan lumayan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: