Khamis, 28 Jun 2012

Mahasiswa lancar Gerakan Mahasiswa Pasca Auku

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPURn: Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN) hari ini melancarkan Gerakan Mahasiswa Pasca Auku (Gempa) sebagai protes terhadap Opss 2020.

Opss 2020 merupakan konspirasi terancang oleh Umno BN yang menggunakan institusi awam termasuk mahasiswa untuk memenangkan mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Menurut jurucakap Pro-MN, Edikoup Lakip Sediyanto, Gempa bertujuan membela mahasiswa dan menolak sebarang pencabulan terhadap hak-hak mahasiswa.

"Kami menamakan gerakan ini sebagai Gempa kerana kami tidak menerima Auku sebagai undang-undang yang berada di kampus.

"Kami kecewa dengan penglibatan Umno BN memanipulasi pilihan raya kampus menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan parti," kata beliau pada sidang media bersama Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata, Gempa akan menggerakkan semua gerakan yang bermula di kampus untuk memberikan impak besar kepada perubahan negara.

Sebelum ini, Pro-MN mendedahkan, antara yang terlibat dalam Opss 2020 ialah Biro Tata Negara (BTN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti (HEP) setiap universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Opps 2020 menyebabkan pilihan raya kampus ditangguhkan mengakibatkan hampir keseluruhan universiti tidak mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Lapor polis tiga lelaki ganggu keluarga


Sementara itu, ekoran sering tampil membuat pendedahan berhubung Opss 2020, keluarga Edikoup diganggu tiga lelaki yang tidak dikenali.

Beliau memberitahu, pada Isnin lalu, tiga lelaki tersebut datang ke rumahnya di Sabak Bernam dan bertanya soal peribadi beliau kepada ahli keluarga.

"Lelaki tersebut datang pada waktu pagi, ketika itu emak dan adik saya ada di rumah.

"Mereka bertanya apa aktiviti saya di luar, siapa idola saya dan beberapa soalan lagi," katanya.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi.

"Atas nasihat peguam dan atas dasar menjaga keselamatan saya dan keluarga maka saya membuat pilihan raya," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah dua koordinator Gempa, Nasrullah Mujaddidi dan Ahmad Zulfadzli Ahmad Kamal.

Tiada ulasan: