Rabu, 27 Jun 2012

Kontrak LRT RM1 bilion, Najib rebut untuk beri kepada kroni

Oleh Masdar Wahid


PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak menjelaskan tindakannya menukar kontraktor bagi projek kerja-kerja penyambungan LRT Ampang bernilai lebih RM1 bilion.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, penjelasan itu perlu kerana Najib sudahpun bersetuju dan meluluskan projek itu kepada PDA Consortium seperti diputuskan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikannya selaku Menteri Kewangan pada 25 Januari lalu.

“Dalam kes kontrak kerja sambungan LRT Ampang bernilai lebih RM1 bilion, Najib pada minggu lalu berhasrat menganugerahkannya kepada Konsortium George Kent, seperti dilapor Business Times 22 Jun lalu.

“Ini bertentangan keputusan JPMK yang bersidang 25 Januari lalu. JPMK adalah jawatankuasa perolehan tertinggi peringkat Kementerian Kewangan dan dipengerusikan Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan.

“Keputusan mesyuarat JPMK dengan rujukan T/1/M/1/2012 jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek ini (seperti yang didedah KEADILAN).

“Sebaliknya, JPMK mengarah pakej kontrak itu dianugerah kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys pada harga RM1,012,910,000,” katanya yang turut mengedar minit mesyuarat itu hari ini.

Rafizi berkata, keputusan itu turut ditandatangani Najib, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbandaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

“Saya yakin campur tangan Najib ini jelas melanggar etika pentadbiran telus dan berbaur
penyelewengan kuasa dan oleh demikian, KEADILAN akan membuat laporan polis dan laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap beliau pada 29 Jun ini,” kata Rafizi lagi.

Tiada ulasan: