Naib Presidennya, Fuziah Salleh berkata, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahu menggunakan kaedah tersebut, maka perlu ada perjanjian hitam putih agar kandungan tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.
"Saya tak setuju dengan rakaman manifesto PR yang dibuat sebelum menyiarkannya melalui RTM kerana ia pasti akan diedit.
"Kalau nak guna juga cara itu, mesti ada surat hitam putih supaya rakaman tersebut tidak dimanipulasi dan diedit oleh organisasi media tersebut atau biar kami yang rakamkan sendiri video klip itu," katanya.
Sabtu lalu, Pas melahirkan pendirian membantah kaedah rakaman.
Bagaimanapun ketika mengulas pendirian Pas itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta parti tersebut agar mencubanya terlebih dahulu, bukannya meragui.
Fuziah juga berkata, kaedah rakaman bukan cara yang telus dan kebarangkalian manifesto yang disampaikan oleh PR dimanipulasikan sangat tinggi.
"Sekiranya RTM beri peluang untuk siarkan manifesto PR selama 20 minit. Apa ertinya, jika 23 jam dan 40 minit lagi digunakan oleh pihak kerajaan untuk hentam balik.
"Jadi ini bukan maksud media yang bebas dan adil tanpa memihak mana-mana parti," katanya.
Fuziah berkata, penyiaran manifesto secara rakaman menimbulkan kerisauan kerana boleh dimanipulasi dan sunting oleh pihak RTM.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan bagaimanapan menyambut baik peluang yang diberikan oleh pihak SPR membenarkan semua parti politik menyiarkan manifesto masing melalu media arus perdana.
"Kami terima baik peluang yang diberikan itu kerana ia salah satu cara untuk PR sampaikan manifesto kepada rakyat.
"Akan tetapi, ia tidak bererti sekiranya boleh dimanipulasi dan boleh diputarbelitkan oleh media," katanya lagi.
Justeru, beliau berkata, media arus perdana yang dimiliki kompenan kerajaan tidak boleh dipercayai kerana tidak adil serta tidak bebas dan cenderung kepada kerajaan sahaja.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, beliau menyambut baik ruang yang diberikan oleh SPR bagi membentangkan manifesto dalam bentuk rakaman jika peraturan itu dikenakan ke atas semua parti politik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, rakaman manifesto PR yang dibuat mestilah adil dan saksama.
"Saya tak ada masalah apabila SPR bagi ruang untuk kami siarkan manifesto melalui rakaman.
"Tapi mereka perlu adil dan saksama kepada semua parti politik sama ada Umno atau pun PR, bukannya ada udang di sebalik batu," katanya.
Dalam pada itu, Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, ruang yang diberikan SPR itu tidak menjadi isu kerana ia tawaran yang baik.
"Saya tidak persoalkan tentang tawaran itu kerana tawaran itu bukannya tak baik.
"Setiap orang ada kebaikan dan keburukannya tapi jika itu yang terbaik, kami terima," katanya.
Menurut Seng Giaw lagi, peluang itu adalah cara terbaik tetapi ia mestilah dijalankan dengan adil dan saksama kepada Umno dan PR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan