Dalam satu kenyataan hari ini, JobStreet.com berkata banyak aktiviti telah dapat dikesan di pejabat sepanjang musim demam bola sepak, yang akan berakhir hujung minggu ini.
Antara yang paling menonjol - judi/pertaruhan!
"Tiga syarikat telah dapat mengesan aktiviti perjudian di kalangan pekerja," katanya.
JobStreet.com berkata, isu-isu lain yang dihadapi oleh majikan termasuklah meningkatnya permohonan cuti sakit (29 peratus), produktiviti rendah kerana kekurangan tidur (27 peratus) dan pekerja lewat ke tempat kerja (24 peratus).
Ia berkata, 52 peratus daripada majikan turut menjangkakan pekerjanya sama ada tidak hadir atau lewat untuk ke tempat kerja hari keesokannya.
Untuk mereka yang mungkin cenderung untuk lewat ke tempat kerja hari berikutnya mungkin perlu berfikir dua kali kerana sebahagian besar majikan (80 peratus) berkata mereka tidak mengamalkan tolak ansur dalam tempoh ini, katanya.
Ditanya acara sukan apakah yang mereka menjangkakan kebanyakan pekerja tidak akan bekerja ataupun lewat melaporkan diri, 62 peratus percaya ia adalah Piala Dunia 2014.
Seramai 90 pekerja sumber manusia mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dikendalikan bulan ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan