Rabu, 27 Jun 2012

Kebakaran Hutan Di Sumatera Punca Jerebu di Malaysia

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Jerebu merentasi sempadan dan punca tempatan adalah dua penyebab berlakunya fenomena jerebu di Malaysia ketika ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata kebakaran tanah dan hutan yang tidak terkawal di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia telah membawa jerebu ke kawasan barat Semenanjung Malaysia, menyebabkan kawasan Lembah Klang dilanda fenomena itu sejak pertengahan bulan ini.

"Punca-punca tempatan pula adalah disebabkan pembakaran terbuka, kebakaran tanah gambut, pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan industri," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012.

Beliau berkata keadaan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan negara mengalami jerebu yang teruk sepertimana yang berlaku pada tahun 1997 dan 2005, yang membawa kepada pengisytiharan darurat jerebu di Kuching, Sarawak dan seluruh kawasan Pelabuhan Klang, Selangor dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU)mencecah 543.

Sehingga semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan kualiti udara di seluruh negara semakin baik dengan Kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu 158.

Bagi menangani masalah jerebu merentasi sempadan, Uggah berkata kerajaan mengambil pendekatan secara dua hala dengan kerajaan Indonesia dan di peringkat rantau Asean membabitkan kerjasama pencegahan kebakaran tanah dan hutan.

Hasilnya keadaan jerebu berjaya dikawal dan tidak seburuk kejadian jerebu pada 1997 dan 2005, katanya.

Beliau berkata kerjasama dua negara diteruskan apabila kerajaan Indonesia pada Jumaat lepas bersetuju menerima bantuan daripada syarikat peladangan milik Malaysia yang beroperasi di negara itu bagi memadamkan kebakaran tanah dan hutan di negara itu.

Uggah berkata dalam menangani jerebu yang disebabkan faktor tempatan, kerajaan melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Yang Sering Terbakar, satu daripada tindakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Udara Bersih Jabatan Alam Sekitar membabitkan pembinaan sekatan saliran, membina telaga air tanah dan membina menara tinjau.

"Sehingga kini, sebanyak 105 sekatan saliran, 20 telaga air tanah dan tiga menara tinjau telah dibina di kawasan-kawasan tanah gambut yang mudah terbakar di Pahang, Johor, Selangor, Kelantan, Sarawak dan Sabah," katanya.

Beliau berkata tindakan lain ialah menjalankan rondaan darat bagi tujuan pemantauan, pencegahan dan pengesanan awal aktiviti pembakaran terbuka, mempertingkat penguatkuasaan pelepasan asap dan gas daripada kenderaan bermotor dan dari cerobong industri dan mengeluarkan surat kepada MAS dan Air Asia bagi pelaporan sebarang kes pembakaran terbuka yang dikesan semasa penerbangan. -BERNAMA

Tiada ulasan: