Sabtu, 30 Jun 2012

ISA: SMM tuntut mansuh segera, bebaskan tahanan

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tegas dengan pendirian bahawa kerajaan perlu membebaskan tahanan ISA yang masih berbaki seramai 45 orang.


“Kami melihat suatu percanggahan berlaku di peringkat kerajaan apabila masih ada tahanan ISA yang tidak dibebaskan walaupun sudah lama jaminan pemansuhan ISA dijanjikan oleh Perdana Menteri.

“Kami membidas sikap kerajaan yang berdolak-dalik menggunakan isu ISA sebagai janji politik dalam masa tahanan ISA masih dipenjara secara zalim,” kata Pengerusinya, Safwan Anang.

Beliau berkata, akta drakonian ISA melalui tahanan tanpa bicara itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan negara yang mundur dari sudut moral pengamalan kedaulatan undang-undang.

Katanya, Kerajaan Malaysia seharusnya malu dengan sikap acuh tak acuh mereka terhadap akta zalim itu.

“Sekiranya benar mereka didapati bersalah, kami menggesa pihak kerajaan memberikan mereka peluang perbicaraan yang adil bersama bukti yang kukuh kesalahan mereka, bukannya tahanan senyap seperti ISA,” ujarnya.

Jelasnya, SMM di peringkat mahasiswa menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya mahasiswa dan anak muda untuk sama-sama menyokong Gerakan Mansuhkan ISA yang akan mengadakan protes esok malam di hadapan Bukit Aman, juga pada 1 Julai di hadapan Kem Tahanan Kamunting.

Tiada ulasan: