Rabu, 27 Jun 2012

Teater percuma mengenang Teoh Beng Hock pada Julai

 Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Sebuah persembahan teater percuma dalam Bahasa Melayu akan diadakan sempena memperingati kematian mendiang Teoh Beng Hock pada 6 hingga 8 Julai bertempat di Indicine, KLPAC Kuala Lumpur.

Teater “Beng Hock” yang diarahkan oleh Hariri Abdul Jalil yang mengambil masa 40 minit akan dipentaskan oleh Rumah Anak Teater pada 6, 7 dan 8 Julai. Untuk mendapatkan tiket percuma, sila e-mel rumahanakteater@gmail.com.

Satu pementasan juga akan diadakan di PenangPAC, Pulau Pinang pada 13 dan 14 Julai di mana bayaran masuk RM15 akan dikenakan.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, pementasan tersebut bertujuan untuk menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat mengenai kejadian sebenar yang berlaku.

“Dalam masa tiga minggu lagi sebelum ulang tahun kejadian kematian luar biasa Teoh beng Hock, pihak kami akan menganjurkan sebuah tayangan dokumentari, pementasan teater dan forum demi mendapatkan keadilan ,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

“Kami tidak akan berhenti mengingatkan dunia mengenai kematian tidak wajar ini sehingga mangsa dan keluarga mereka mendapat keadilan dan kebenaran sebenar,” tambah Loke lagi yang juga merupakan Ketua Pemuda DAP.

Menurut beliau, kematian Teoh Beng Hock memperlihatkan budaya politik BN yang keji serta memperlihatkan belang sebenar mereka sebagai penjahanam prinsip demokrasi.

Katanya, kematian saksi melibatkan kakitangan Kastam DiRaja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamed, yang ditemui mati di aras bawah pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 2011.

Beliau berkata, kejadian kedua ini merupakan bukti kukuh bahawa institusi anti rasuah negara ini memerlukan rombakan menyeluruh, jika tidak kejadian yang sama mungkin akan berulang.

Sebarang pertanyaan sila layari blog di rumahanakteater.blogspot.com, atau boleh menghubungi mereka di talian 012-229 0944, atau Facebook: Rumah-Anak-Teater atau di pautan-hash Twitter, #BENGHOCK. – Roketkini.com

Tiada ulasan: