Rabu, 27 Jun 2012

Pemegang saham Puncak Niaga mahu Syabas disaman

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Pemegang saham minoriti Puncak Niaga Holdings Bhd hari ini meminta Lembaga Pengarahnya menyaman Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), pembekal dan pengedar tunggal air dirawat di Lembah Klang.

Mereka meminta Tan Sri Rozali Ismail, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), mengambil tindakan undang-undang terhadap Syabas untuk memaksanya membayar hutangnya berjumlah RM1.09 bilion kepada Puncak Niaga hingga 31 Dis, 2011.

Jurucakap pemegang saham itu, G. Parameswaran, berkata mereka berharap kedudukan aliran tunai Puncak Niaga akan bertambah baik selepas Syabas membayar hutangnya yang tertunggak.

"Ini akan membolehkan Puncak Niaga membayar dividen kepada pemegang saham," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu.

Beberapa pemegang saham bersungut bahawa mereka tidak menerima pembayaran dividen daripada pelaburan mereka dalam syarikat itu selama dua tahun.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada pemberita, mereka berkata Syabas bukan sahaja berhutang dengan PNSB, yang membekalkan air dirawat kepada syarikat itu, mlah juga keada dua syarikat lain, iaitu Konsortium ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

Kenyataan itu menegaskan: "Jika Pengerusi Eksekutif dan Lembaga Pengarah Puncak Niaga tidak mengambil tindakan terhadap Syabas, kami, pemegang saham minoriti akan menyaman Syabas untuk memelihara kepentingan kami sebagai pemegang saham minoriti."

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2011, Puncak Niaga mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.59 bilion berbanding RM2.06 bilion sebelumnya dan kerugian sebelum cukai sebanyak RM75.2 juta berbanding RM108.7 juta pada 2010.

Rozali berkata Puncak Niaga tidak dapat membayar dividen disebabkan oleh hutang Syabas yang besar kepada PNSB.

Kata Rozali, beliau akan memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah minggu depan untuk membincangkan keputusan oleh pemegang saham minoriti itu.

Beliau berkata Puncak Niaga terpaksa mengambil tindakan terhadap Syabas untuk mendapatkan pembayaran yang tertunggu meskipun beliau menganggotai lembaga pengarah Syabas, Puncak Niaga dan PNSB.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Syabas tidak dapat membuat pembayaran kepada tiga firma rawatan air itu disebabkan oleh subsidi air yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada penduduk Selangor.

Beliau juga berkata Syabas telah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri yang tidak meluluskan kenaikan tarif air seperti yang ternyata dalam perjanjian konsesi.

Rozali berkata Syabas akan menggunakan wang yang dipungut daripada pengguna dan tarif yang lebih tinggi untuk membayar balik pinjaman dan menggantikan paip lama yang telah menyumbang kepada air tidak berhasil.- Bernama

Tiada ulasan: