Presiden Merhrom, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, mayat yang dibakar dan terus hilang.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dituntut untuk menyatakan pendirian berhubung isu pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Arakan, Myanmar.
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Selamatkan Rohingya, Azmi Hamid berkata Ketua Negara-Negara Asean sepatutnya mengadakan mesyuarat tergembar bagi membincangkan isu pembunuhan etnik ini.
“Kami mendesak agar kerajaan Myanmar menghentikan segera perkara ini. Ia tidak boleh dibiarkan lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas menghantar memorandum kepada kedutaan Myammar hari ini.
Katanya isu kekejaman ke atas umat Islam Rohingya ini adalah isu sejagat yang wajib khususnya umat Islam bangkit untuk membela dan menyatakan bantahan.
Azmi menyatakan umat Islam etnik Rohingya dibunuh, diseksa, wanita diperkosa manakala rumah-rumah dan perkampungan mereka dibakar.
“Kerajaan Myammar turut dituntut untuk membenarkan campur tangan agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat perkara yang dilaporkan,” katanya.
`Situasi masih teruk’
Himpunan tersebut diadakan selepas solat Jumaat, mulai berarak dari Masjid Tabung Haji ke kedutaan Myanmar di Jalan Ampang.
Kira-kira dua ribu orang yang kebanyakkannya pelarian Rohingya di negara ini turut serta dalam himpunan tersebut sehingga berlaku kesesakan trafik di hadapan kawasan kedutaan terbabit.
Sementara itu, Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organization Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, banyak mayat etnik Rohingya yang dibakar telah hilang.
Melalui maklumat yang diperoleh, Zafar berkata, mayat umat Islam etnik Rohingya ini diambil oleh orang Buddha Rakhine dan kami tidak mengetahui apa yang dilakukan mereka.
“Kami menuntut agar PBB segera melakukan siasatan di atas hal ini. Kami sentiasa menerima maklumat mengenai situasi di kampung halaman. Sehingga sekarang situasinya masih teruk dan akses maklumat dari luar juga dikawal oleh pihak tentera,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan