Demontrasi besar-besaran yang akan diketuai Mohammad Sabu dan turut dihadiri Datuk Seri
Abdul Hadi Awang.
PUTRAJAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menganjurkan ‘Himpunan Oren Selamatkan Felda’ pada 14 Julai depan bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Saham.
Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata, peserta akan berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kemudiannya berarak sejauh 2kilometer menuju ke Istana Negara bagi menghantar memorandum memohon supaya Yang di Pertuan Agong (YDPA) campur tangan isu FGV.
Menurutnya, demontrasi besar-besaran yang akan diketuai Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu dan turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula berarak selepas selesai menunaikan solat Zohor dan solat hajat.
“Kita sudah menjemput beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Bersih, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), mansuh Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), NGO Felda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mensasarkan penyokong sekurang-kurangnya 20,000 peserta, Mazlan berkata pihaknya turut menjemput parti politik Pakatan dan Barisan
Nasional (BN) sama-sama menyertainya kerana ia isu yang membabitkan masa depan peneroka.
“Peserta yang mahu menyertai perhimpunan itu nanti boleh memakai pakaian berkonsepkan warna oren yang melambangkan Felda,” katanya.
Katanya, Anak kini sedang giat mengadakan roadshow memberi penerangan kepada peneroka dan generasi kedua Felda mengenai risiko penyenaraian FGV.
Sebelum itu, Mazlan bersama wakil peneroka hari ini hadir ke Pejabat Perdana Menteri di sini menghantar notis kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut supaya memohon maaf kerana mengungkap perkataan ‘haram jadah’.
Notis itu menganggap Najib semasa menyebut ‘haram jadah’ di Jengka 8, Pahang pada 8 Mei lalu itu boleh membawa maksud anak luar nikah, anak tidak sah taraf, pengkhianat, jenis tak tahu malu, tidak setiua dalam perjuangan, tak jujur, dan tak layak terima durian runtuh.
“Datuk Seri dikehendaki memohon maaf secara terbuka mengikut teks yang akan disediakan oleh kami dihadapan warga peneroka Felda Jengka 8 dan bayar pampasan ganti rugi sebanyak RM10,000 setiap satu klien kami dalam tempoh 48 jam dari tarkikh terimanya surat ini kerana telah mendatangkan keaiban, kerosakan dan kerugian kepada klien-klien kami.
“Kegagalan Datuk Seri untuk berbuat demikian akan mengakibatkan tindakan undang-undang diambil terhadap Datuk Seri menuntut jumlah
yang dinyatakan termasuk ganti rugi teladan, teruk, kos dan faedah tanpa sebarang rujukan kepada Datuk Seri,” notis tersebut dipetik.
Notis itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Saiful Azhar petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan