Cencorship denies human beings their free will to think for themselves' (penapisan ini menjadikan warga (Malaysia) seperti kanak-kanak. Penapisan ini juga menafikan hak mutlak manusia untuk berfikir mengikut kehendak mereka) - terjemahan bebas saya.
Saya berharap kenyataannya ini tidak mempengaruhi pemikiran warga negara Malaysia bahawa pelaksanaan peruntukan undang-undang negara kita yang menuntut pengharaman penerbitan tertentu itu adalah merupakan tindakan yang memperkecilkan pemikiran dan mentaliti semua warga negara kita, sehingga dengan itu semua warga negara kita akan merasakan bahawa mereka telah dilayan seperti kanak-kanak mentah yang tidak tahu berfikir.
Bagi saya tidak semua perkara dalam dunia ini yang semua warga negara diberikan kebebasan mutlak, dan tidak ada negara dalam dunia ini yang tidak mempunyai undang-undang untuk mengehad atau mengharamkan sebarang penerbitan dan media yang dianggap merbahaya kepada sesebuah negara dan warga negaranya, mengikut adat resam, budaya, agama, keselamatan dan sensitiviti yang tertentu.
Saya juga mengharapkan bahawa kerajaan kita tidak perlulah mengambil tindakan ke atas penulis ini seperti yang sering dilakukan oleh kerajaan-kerajaan Islam lain apabila terdapat orang luar yang bertindak dan bersuara seolah-olah memperkecil-kecilkan kerajaan dan mengemukakan pemikiran yang menghina dan menyelewengkan fakta tentang ALLAH dan agama Islam itu sendiri kerana sebagai seorang manusia ia bebas mengeluarkan kenyataannya itu, malah kerajaan telah pun mengharamkan bukunya yang menampilkan idea menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Mungkin kerajaan tidak seharusnya melayan kenyataan itu lagi atau menghiraukan andaiannya tentang tindakan kerajaan kita yang dikatakan beliau telah menjadikan warga kita seperti kanak-kanak.
Biarkanlah ia berkata sebarang apa pun, asalkan rakyat kita memahami isu yang sebenarnya dan memahami apakah maksud mesej yang hendak disampaikannya dalam buku tersebut yang telah pun diharamkan.
Negara kita telah mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi ke tahap yang amat tinggi dan menghormati hak-hak asasi manusia yang dilindungi oleh undang-undang kita sendiri sebegitu rupa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan kita. Kebebasan bersuara diberikan kepada semua asalkan tidak melampaui batas dan tidak termasuk ke dalam pengertian menghasut yang boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat kita keseluruhannya.
Mungkin kenyataan penulis ini belum lagi sampai ke tahap menghasut seperti yang terkandung dalam peruntukan undang-undang kita, tetapi dari sudut etika dan nilai moral, Manji mungkin telah melampaui batasan ketika dia cuba mengemukakan ideanya bahawa perutusannya dalam buku ini telah membawakan pengertian "mengkompromi perintah ALLAH dan kebebasan".
Dalam kenyataannya ia menegaskan (The irony that this book makes the case for faith. It empowers readers to reconcile ALLAH and freedom, showing that Muslims can be independent thinkers and profound believers in a loving God".
Ketika saya menulis pandangan saya ini, saya pun sedar bahawa dalam masyarakat liberal dan bebas pada hari ini, mungkin terdapat orang-orang Islam di negara kita sendiri yang menyokong Irshad Manji dan membantah pengharaman bukunya itu, termasuklah penerbit tempatan buku ini dalam bahasa Melayu yang bercadang untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri yang mengharamkan buku ini ke mahkamah.
Tetapi bagi saya, pendirian rasmi yang diambil oleh kerajaan itu haruslah dipertahankan kerana hal itu dengan sendirinya menggambarkan kepekaan kita kepada ajaran Islam yang selama ini sering diselewengkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu mengikut rentak dan lenggang pihak-pihak lain yang ingin melihat Islam dimalapkan cahayanya di dalam negara kita ini yang masih bertahan dengan segala cabaran moden dan global yang mungkin ingin melihat negara kita ini juga tunduk kepada tekanan penjajahan akal fikiran yang bebas dalam mengamalkan Islam yang sejati.
Semua orang sedar bahawa pendirian rasmi dan tegas dari pihak kerajaan ini sememangnya tidak dapat menghalang para pembaca kita dari mendapatkan kandungan buku ini sepenuhnya dari versi digital yang juga disebut oleh Irshad Manji ketika menutup kenyataannya dengan memberikan alamatnya sekali, termasuk juga mendapatkan versi bukunya yang telah diharamkan sebelum ini.
Tetapi seperti yang saya sebutkan di atas bahawa hakikat ini tidaklah menafikan hak kerajaan untuk menjalankan tindakannya yang tegas mengharamkan buku ini dari tersebar di depan mata kepala kita seolah-olah kita merestui segala penyelewengan yang dibawakannya. Isu mendapatkan naskhan digital itu adalah isu peribadi masing-masing yang tidak dapat disekat lagi dalam dunia maya ini.
Sepatutnya Irshad tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sinisnya lagi ketika dia sendiri sedar bahawa sesiapa yang ingin membaca bukunya itu maka mereka dapat membacanya melalui versi digitalnya.
Malah saya merasa dia agak keterlaluan ketika menutup kenyataannya yang terakhir menyatakan "saya berdoa agar rakyat Malaysia diberikan keimanan yang mendalam dan mempertahankan hak mereka yang diberi ALLAH kepada mereka."
Kenyataan inilah yang menunjukkan siapakan sebenarnya yang cuba memperkecil-kecilkan kedudukan rakyat Islam di Malaysia yang seolah-olah tidak kuat imannya dan tidak dapat menggunakan kebebasan berfikir yang diberikan ALLAH kepada hamba-hamba-Nya itu. Orang itu ialah Irshad Manji sendiri kerana dialah yang sebenar-benarnya cuba untuk mengajar kita tentang kebebasan dan keimanan, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Siapakah Irshad Manji yang hendak mengajar kita dan menghukum rakyat Muslim kita ini? Siapakah dia?
* Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan