Sabtu, 12 Mei 2012

SU Agung: BN tapis lebih 1,000 nama calon

SINAR HARIAN

Datuk Seri Tengku Adnan Mansor
 
Datuk Seri Tengku Adnan Mansor


KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengenal pasti lebih 1,000 nama calon bagi mengisi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor berkata senarai tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno dalam masa terdekat untuk dikemaskini dan disenarai pendek.

"Untuk calon Umno dan BN, kita akan buat saringan tertentu sebelum diserahkan kepada presiden parti dan untuk makluman perhubungan negeri.

"Yang penting, calon yang dipilih adalah mereka yang dikehendaki oleh rakyat dan bukannya parti," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional sempena ulang tahun ke-66 Umno di sini hari ini.

Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung Umno, berkata senarai nama itu diperoleh daripada badan perhubungan negeri melibatkan 191 bahagian Umno dan 222 Parlimen.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti laporan senarai nama yang dikaji oleh 'sumber parti' dan agensi dilantik untuk senarai akhir.

"Bukan semestinya senarai yang diserahkan bahagian atau negeri akan menjadi calon kelak. Kita juga ada tengok sumber lain. Untuk makluman, bahagian ada bagi tiga nama, ada yang bagi kurang, ada yang langsung tidak bagi dan serah kepada pucuk pimpinan untuk pemilihan nama," katanya.

Ketika ditanya mengenai identiti calon yang dikenal pasti itu, Tengku Adnan berkata gabungan muka baru dan lama menjadi pilihan khasnya pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan dan boleh memimpin rakyat dan memajukan negara.

Beliau turut ditanya mengenai desas-desus kononnya Najib menemui Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

"Ada yang cakap (pembubaran) esok lusa. Itu semua spekulasi. Apa yang saya tahu PM ada kenduri kahwin di Johor Baharu dan akan menghadiri graduation anaknya. Tapi apa-apa pun, kita sudah bersedia sepenuhnya bila semboyan ditiupkan," katanya.

Terdahulu beliau meluangkan masa dan beramah mesra dengan pempamer dan peserta pameran dan berharap lebih ramai anak muda akan datang ke karnival ini untuk mengetahui peluang pekerjaan selain mendekati dan mengenali Umno serta sayap parti mereka.

Adnan turut gembira dengan sambutan yang diterima pada sambutan ulang tahun kali ini apabila hampir 20,000 orang mengunjungi karnival kerjaya selain hampir 100,000 orang memeriahkan segenap lapisan stadium pada majlis perasmian semalam. - Bernama

Tiada ulasan: