Selasa, 1 Mei 2012

NFC tidak menghormati undang-undang dan mengkhianati amanah rakyat - Rafizi

  Rafizi Ramli

Saya sedia maklum bahawa keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil sedang berusaha untuk menyabitkan saya dengan tuduhan melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) di samping tindakan saman yang telah dibuat setakat ini.

Saya menghormati hak mereka membuat laporan sekiranya dirasakan ada peruntukan undang-undang yang telah dilanggar. Saya sedia bekerjasama jika ada siasatan demi menjamin proses undang-undang berjalan dengan sebaiknya.

Malangnya, sementara Dato’ Seri Salleh Ismail dan keluarganya begitu tegas dalam soal Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA),
keadaannya cukup berlainan apabila mereka sendiri dilihat tidak menghormati undang-undang dan mengkhianati amanah rakyat. Sehingga hari ini, mereka masih terus menggunakan dana rakyat sewenang-wenangnya. Mereka juga belum menyerahkan mana-mana harta mewah yang telah dibuktikan dibeli atau disyaki dibeli menggunakan dana RM250 juta yang sepatutnya digunakan bagi tujuan lain.

Umrah

Dalam siri pendedahan yang dibuat, buktinya jelas bahawa setiap ahli lembaga pengarah termasuklah anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil telah melanggar pelbagai undang-undang dan tatakelola yang baik – namun sehingga kini tidak ada seorang pun dari anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil didakwa di mahkamah.

Hinggakan dalam soal mendapatkan passportnya dari ditahan mahkamah pun Dato’ Seri Salleh Ismail berbohong kepada mahkamah dan mengkhianati amanah yang diberikan mahkamah. Semasa membuat permohonan, beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan menunaikan umrah di antara 28 April 2012 dan 5 Mei 2012.
Sebaliknya, dalam tempoh tersebut beliau sibuk ke sana ke mari untuk membuat laporan polis dan laporan kepada Bank Negara Malaysia terhadap saya.

Pinjaman dibatalkan apabila skandal menjadi panas

Tidak ada satu pun dari kenyataan beliau semalam yang boleh meyakinkan rakyat bahawa beliau telah menggunakan dana awam RM250 juta untuk mendapatkan pinjaman bank membeli lapan unit hartanah mewah di KL Eco City.

Beliau mendakwa saya telah memfitnahnya kerana kononnya beliau tidak pernah membuat pinjaman untuk membeli unit-unit tersebut. Hakikatnya, beliau memang ada membuat pinjaman tersebut tetapi dibatalkan oleh bank apabila skandal NFC menjadi panas. Buktinya, tawaran pinjaman dibuat oleh bank pada 23 Mei 2011 tetapi dibatalkan pada 4 Januari 2012.

Bukan saya dihina dimata rakyat

Saya rela berhadapan dengan apa-apa tindakan berikutan peranan saya mendedahkan skandal NFC.

Bukanlah sesuatu yang memalukan jika kita dihukum kerana berkata benar dan mengambil tindakan yang betul. Tetapi jika kita dibuktikan menyeleweng wang rakyat yang sepatutnya sampai kepada orang miskin tanpa sedikit pun rasa bersalah atau rendah diri, kita akan dipandang hina di mata rakyat.

Cubaan NFC untuk meletakkan saya di kandang orang bersalah akan dipandang sinis oleh rakyat. Bukan saya yang dibicarakan rakyat tetapi NFC yang gerak gerinya terus dihakimi rakyat.

Rafaiz Ramli ialah Pengarah Strategik, Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: