Rabu, 2 Mei 2012

Melbourne desak P'si SPR letak jawatan

Mohd Azim bin Abdul Hamid,



(Pemimpin SPR didesak meletakkan jawatan dalam perhimpunan di Melbourne) 


MELBOURNE (Australia): Ribuan rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Persekutuan (Federation Square) Melbourne, Sabtu lepas untuk menzahirkan desakan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia.

Antara tuntutan mereka adalah mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof meletakkan jawatan.

Kira-kira (hampir 1500)  1,250 warganegara hadir di dataran tersebut merupakan sebahagian yang terlibat dalam himpunan gerakan Global Bersih 3.0 yang dijalankan di seluruh dunia pada hari Sabtu lepas.

(Desakan undur kepada pemimpin SPR)

Selain Melbourne, terdapat beberapa siri himpunan Bersih 3.0 yang lain, bermula di Auckland dan berakhir di San Francisco, dari serendah laut di Aceh sehingga setinggi ke gunung Everest, semuanya berkumpul memberi solidariti kepada kira-kira 250,000 warga pelbagai generasi yang turun di jalanan Kuala Lumpur bagi menunjuk bantahan kepada korupsi pilihanraya.

Di Melbourne, sorakan peserta yang berkumpul semakin kedengaran seawal jam 1 tengahari waktu tempatan.

Antara yang turut bersama bukan sahaja dari kalangan pelajar seperti yang dijangka pihak penganjur, malah yang bekerja serta berkeluarga dari pelbagai generasi termasuk anak kecil hingga warga emas turut menjayakan himpunan aman tersebut.



(Antara orang ramai yang berkumpul di Federation Square, Melbourne, Sabtu lepas serentak dengan rakan-rakan mereka di Kuala Lumpur dan seluruh dunia)

Suasana meriah dilahirkan dalam acara ‘Duduk Bantah’ dengan peserta turun memakai pakaian berwarna kuning, sambil memegang pelbagai sepanduk yang mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk meletakkan jawatan serta mengibarkan bendera Malaysia tercinta.

Perhimpunan tersebut telah dirasmikan oleh ahli Senator Victoria, Colleen Hartland dari parti The Greens Australia.

Dalam ucapan ringkas beliau menyatakan sokongan kepada pergerakan itu. Seterusnya acara diteruskan dengan ucapan dari Encik Hong Lim, Ahli Parlimen Clayton, Melbourne.

Himpunan itu juga disusuli dengan bacaan kenyataan Pengerusi Bersama Bersih Kuala Lumpur, Datuk Ambiga Sreenevason oleh salah seorang ahli jawatankuasa penganjur.

Antara lain ucapan dalam perhimpunan tersebut adalah berkisar tentang situasi semasa dalam gerakan reformasi sistem pilihanraya di Malaysia, pendaftaran yang meragukan dalam daftar pemilih serta hak-hak mengundi rakyat Malaysia di luar negara.

Selain ucapan dari beberapa pihak, acara perhimpunan itu juga diselangi dengan nyanyian lagu ‘Here in My Home’ dan ‘1 Malaysia’ serta bacaan puisi dan deklamasi sajak.

Di penghujung acara, penyelaras Global Bersih 3.0 Melbourne, saudara David Teoh telah membacakan senarai 85 lokasi yang mengambil bahagian dalam Bersih Global di seluruh dunia.

Perhimpunan berakhir dengan para peserta bangun berdiri tegak bersama menyanyikan lagu kebangsaan, ‘Negaraku’.

Seusai perhimpunan, peserta bersurai secara aman dengan bantuan pihak berkuasa mengawal baik keadaan lalu lintas.

Salah seorang ahli jawatankuasa Bersih 3.0 Melbourne, William Ng berkata, “Perhimpunan ini adalah sebuah gerakan yang non-partisan untuk mendesak reformasi dalam pilihanraya.

"Kami mahukan satu sistem yang mencerminkan kehendak rakyat, di mana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dilihat sebagai satu badan bebas yang tidak terlibat dengan rasuah serta mahukan pengakhiran kepada politik kotor yang berleluasa sepertimana yang telah mencemari pilihanraya kecil di Malaysia baru-baru ini.”

Kebanyakan warganegara yang tinggal di luar negara termasuk warga Australia yang lahir atau yang mempunyai sanak-saudara di Malaysia mengekalkan hubungan perasaan dan budaya yang kuat kepada negara asal mereka.

Namun pada hari Sabtu tanggal 28 haribulan April baru-baru ini, kekuatan hubungan ini terserlah ditunjukkan oleh mereka secara aman tetapi lantang di seluruh dunia dengan kerjasama pihak berkuasa di tempat masing-masing, mengharapkan reformasi dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Tiada ulasan: