Isnin, 14 Mei 2012

Meja bulat sokong tuntutan BERSIH 3.0, wacana Najib-Anwar

MALAYSIA KINI
Sidang meja bulat 'BERSIH 3.0 dan Masa Depan Malaysia' berakhir dengan resolusi termasuk menyokong penuh lapan tuntutan BERSIH 3.0 dan wacana terbuka di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Sidang meja bulat yang dianjurkan oleh Institut Forum Siswa (i-FORSIS) kelmarin menghasilkan sebelas resolusi bagi meningkatan kesedaran dan penyertaan mahasiswa dalam agenda pembangunan masa depan negara serta menentukan halatuju dan jalan penyelesaian alternatif terhadap sesuatu masalah atau isu yang berlaku.

Dalam satu kenyataan semalam, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis),  Akram Ikrami Taib Azamudden menegaskan mengenai keperluan berkongsi platform serta membina kefahaman di kalangan aktivis gerakan mahasiswa berhubung isu-isu penting dalam negara.

Katanya, dalam resolusi yang diluluskan dalam sidang meja bulat itu, pimpinan gerakan mahasiswa, menuntut dan mencadangkan kepada pihak yang berkenaan, supaya:
  • Menghidupkan dan menyuburkan semula ‘Speaker Corner’, dialog bebas dan program baktisiswa bagi meningkatkan nilai idealisme dan aktivisme mahasiswa serta partisipasi dalam menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat.  
  • Meneruskan kebersamaan gerakan mahasiswa untuk mengadakan perbincangan bagi mencari kata sepakat dan jalan penyelesaian terhadap pelbagai masalah dan isu yang melanda rakyat Malaysia dan umat Islam.
  •  Meningkatkan nilai kematangan dalam isu-isu semasa, masyarakat dan ummah, selaras dengan tahap keintelektualan sebagai seorang yang terpelajar.
  • Memberi dan meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang tanggungjawab sebagai pembela masyarakat dan jurubicara ummah.
  • Menyokong penuh lapan (8) tuntutan BERSIH 3.0 dan menuntut pihak SPR dan kerajaan melaksanakannya sebelum diadakan Pilihanraya Umum ke-13.
  • Menyeru ahli politik dalam negara meningkatkan kematangan berpolitik dengan meningkatkan kewibawaan masing-masing pada kaca mata rakyat dan tidak menggunakan politik kotor.
  • Kesepakatan atas agenda Islam mestilah diutamakan melebihi sentimen politik kepartian.
  • Memberi fokus kepada pembangunan jati diri Islam kepada mahasiswa.
  • Menolak sebarang bentuk pemikiran dan tindakan yang di luar batasan syarak.
  • Menyeru gerakan mahasiswa dan mahasiswa untuk mengemukakan alternatif atau cadangan tambahan terhadap bantahan atau sokongan yang dibuat terhadap pelbagai pihak.
  • Mengadakan wacana terbuka di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

"Dengan ini kami berikrar, untuk meneruskan momentum membela dan memperjuangkan nilai-nilai kebenaran dan keadilan yang dituntut oleh Islam demi masa depan Malaysia yang lebih cemerlang dan dirahmati Allah," katanya.

Menurutnya, resolusi tersebut dipersetuju sebulat suara oleh wakil-wakil dari PKPIM pusat, PKPIM UIAM, JK Informasi & Maklumat PEMBINA pusat, PEMBINA UIAM, GAMIS, SIGMA-GAMIS, KARISMA Daerah Gombak, GPMS UIAM dan Ma’ruf Club UIAM.

Tiada ulasan: