Selasa, 8 Mei 2012

Mahfuz tuduh polis langgar fatwa, ulama gesa fatwa tidak terlalu jumud

 
 
KUALA LUMPUR — PAS hari ini menuduh pihak polis adalah pihak yang bertanggungjawab melanggar fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan semalam apabila mereka menggunakan kekerasan terhadap perusuh.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut berkata, pihaknya menghormati fatwa yang dikeluarkan, namun pihak Jawatankuasa Fatwa perlu melihat demonstrasi itu dalan konteks yang lebih luas, bukan semata-mata demonstrasi tersebut.

“Majlis Fatwa perlu melihat punca demonstrasi tersebut berlaku. Rakyat turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

“Menurut pengamatan saya, pihak polis yang telah melanggar fatwa tersebut apabila mereka memukul perusuh dan mencetuskan keganasan.

Tambah Mahfuz (gambar), terdapatnya unsur penyelewengan dalam daftar pemilih yang menjadi punca masyarakat turun ke jalanan.

“Saya tidaklah kata tak setuju, itu hak mereka membuat fatwa. Tapi fatwa perlu lihat keseluruhan. Jadi sesuai dengan fatwa itu sendiri.

“Lagipun kami turun ke jalanan mengadakan demonstrasi hanya membawa air mineral dan garam, tiidak melibatkan penggunaan senjata,” katanya menegaskan niat mereka adalah menuntut pembersihan daftar pemilih dalam sistem pilihan raya dan bukannya ingin menghuru-harakan negara.

“Sewaktu kita pergi demonstrasi ia dalam keadaan aman. Kita sendiri tidak tahu yang demonstrasi itu akan bertukar ganas.

Jelas Ahli Parlimen Pokok Sena ini lagi, fatwa itu menyatakan haram jika berniat jahat sewaktu menyertai demonstrasi tersebut, beliau bagaimanapun menegaskan, pihaknya menyertai demonstrasi tersebut dengan niat yang baik.

“Kita hanya duduk bantah, menuntut pilihan raya bersih dan adil,” tambahnya.

Sementara itu, ulama PAS juga menyeru Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan agar tidak mengeluarkan pandangan yang sempit dan melibatkan demonstrasi semata-mata, sebaliknya mengambil kira punca demonstrasi itu sendiri iaitu kepincangan sistem pilihan raya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan, demonstrasi yang menjurus kepada perkara kebaikan dan tugas “amar makruf nahi mungkar” adalah sangat digalakkan dalam Islam.

“Demonstrasi menyatakan pandangan adalah berasaskan kepada kewajipan amar makruf nahi munkar yang dituntut oleh Islam,” katanya mengulas pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, semalam berhubung demonstrasi Bersih 3.0.

Lapan tuntutan Bersih adalah bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini yang dilihat tidak telus dalam proses pilihan raya.

Jelas Adun Manir ini lagi, “ia merupakan sebahagian tugas amar makruf nahi munkar yang mesti dilaksanakan oleh rakyat terutamanya umat Islam”.

Tambahnya, keganasan ketika insiden Bersih 3.0 tidak akan wujud sekiranya tiada provokasi daripada pihak-pihak tertentu,

“Tanpa sebarang provokosi daripada pihak tertentu demonstrasi aman tidak akan mencetuskan huru-hara,” katanya.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali, pula menegaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diminta tidak menyempitkan pandangan muzakarah melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja.

Tetapi, tambahnya mereka perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, seperti amalan rasuah yang berleluasa, dan ketirisan dengan tujuan politik jahat.

“Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa akan dilihat berwibawa dan tidak menjadi alat pemerintah semata-mata, malah menjadi suara amar makruf nahi munkar mewakili rakyat,” tambahnya lagi.

Jawatankuasa fatwa semalam berkata mereka memandang serius isu perhimpunan itu di mana adanya umat Islam menjadi perusuh jalanan, seperti dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Pengerusi jawatankuasa itu, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dipetik berkata: “Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

“Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah.”

Abdul Shukor berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu semalam.

Tiada ulasan: