Selasa, 8 Mei 2012

Mahfuz: Kami sertai Bersih 3.0 dengan niat baik

Fakhrurrazi Usuldin

Datuk Mahfuz Omar
 
 
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 bulan lalu disertai dengan naik yang baik, bukannya untuk menggulingkan kerajaan seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dia (Majlis Fatwa Kebangsaan) kata haram untuk menyertai demonstrasi yang bertujuan dengan niat yang tidak baik, kami pergi dengan niat yang baik untuk masa depan negara kita.
“Niat kita ialah untuk duduk dan bantah dan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“Ini niat baik, saya tidak tahulah kalau tuntut pilihan raya yang bersih dan adil pun Majlis Fatwa Kebangsaan kata niat jahat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, tengah hari tadi.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata peserta, perhimpunan Bersih 3.0 bukan bertujuan menimbulkan kekecohan.

“Kami tidak membawa senjata, kalau kami berniat mahu menghuru-harakan negara, menimbulkan kekecohan sudah tentu bawa senjata. Tetapi kami hanya membawa botol air mineral dan garam.

“Saya menghormati apa yang disebut  Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi mereka harus melihat secara keseluruhan, punca orang ramai keluar melakukan tunjuk perasaan.

“Masyarakat keluar kerana ada masalah, kerana pilihan raya tidak bersih dan adil, ada unsur penyelewengan terhadap daftar pemilih umpamanya dan saya tidak kata tidak bersetuju dengan fatwa itu, tetapi itu hak mereka untuk membuat fatwa, terpulanglah,” katanya.

Katanya, pengamatan beliau menunjukkan pihak polis yang telah melanggar fatwa tersebut apabila mereka memukul perusuh dan mencetuskan keganasan.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu jurugambar pun mereka (polis) tumbuk dan Ketua Polis Negara  pun sudah meminta maaf kepada jurugambar terbabit. Jadi di sini polis yang melanggar fatwa itu," katanya.

Malah beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila polis bertindak hanya berasaskan kepada blog penyokong Umno dan gambar disiar blog itu.

"Kelmarin dia (polis)  tangkap pelajar UiTM, Khalid Ismath. Apabila pergi di hadapan Majistret, Khalid dibebaskan sebab polis tidak boleh membuktikan gambar yang didakwa Khalid memukul seorang anggota polis disiar sebuah akhbar tempatan.

“Macam mana polis yang ada unit Forensik mengambil tindakan memalukan, sepatutnya gambar tu dia perlu siasat dulu, tetapi apabila dibawa di hadapan Majistret tidak boleh buktikan individu di dalam gambar itu adalah Khalid," katanya.

Tiada ulasan: