Isnin, 14 Mei 2012

Kereta terbabas, pengantin dan ibu mertua maut

SINAR HARIAN

NIBONG TEBAL - Dua wanita maut manakala tiga anggota keluarga mereka cedera apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Km168.2 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Utara, dekat sini hari ini.

Kemalangan pukul 8 pagi itu mengakibatkan pengantin baru, Sabjit Kaur Soba Singh berusia 20an dan ibu mertuanya, Rupinder Kaur Rejinder Singh, 56, maut.

Jurucakap polis berkata kereta mereka jenis Perodua Viva dipandu suami Sabjit Kaur, Alvinder Singh Mokhtiar Singh, 32, dikatakan terbabas semasa cuba mengelak sebuah lori yang memintas memasuki lorong sebelah kiri.

"Alvinder Singh dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke dalam longkang melanggar tebing batu menyebabkan isterinya yang duduk di tempat belakang tercampak keluar," katanya kepada pemberita di sini.

Jurucakap itu berkata Rupinder Kaur, ibu kepada pemandu kereta yang juga berada di tempat duduk belakang mengalami cedera parah dan meninggal dunia.

Katanya, mayat Sabjit Kaur dan Rupinder Kaur dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk dibedah siasat.

Menurut jurucakap itu, seorang lagi penumpang kereta yang duduk di bahagian belakang, dipercayai adik kepada Alvinder Singh turut cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya dekat sini.

Alvinder Singh dan bapanya, Mohktiar Singh, 60an mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HSB.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan dari Tronoh, Batu Gajah, Perak, menuju Bukit Mertajam untuk mendaftar perkahwinan Alvinder Singh.

Beliau meminta mereka yang melihat kejadian itu supaya menghubungi polis di talian 04-58582222 bagi membantu siasatan. - Bernama

Tiada ulasan: