Sabtu, 12 Mei 2012

Kalau hendak tunjuk kuat himpun di stadium, Najib bidas Bersih

Jamilah Hamzah

Datuk Seri Najib Tun Razak
 
Datuk Seri Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR - "Kalau nak tunjuk kuat, berhimpunlah di stadium seperti kita... kalau mereka sayangkan negara dan menghormati undang-undang berhimpunlah seperti kita," kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Sambutan Hari Umno ke-66 di sini, malam tadi.

Kata Presiden Umno ini, penganjur Bersih 3.0 akhir bulan lalu telah ditawarkan beberapa tempat seperti Stadium Nasional Bukit Jalil serta Stadium Merdeka.

"Mengapa mereka (Bersih3.0) tidak mahu menggunakan tempat yang telah disediakan seperti kita malam ini, adakah mereka takut jumlah penyokong yang hadir tidak ramai.

"Bukan alasan yang bagus mereka mengatakan kita memberitahu mereka terlalu lambat untuk mengubah tempat perhimpunan mereka daripada Dataran Merdeka dan mereka menyatakan Stadium Merdeka bukan tempat sejarah adalah satu pembohongan," tambah Najib yang memulakan ucapan dengan mengkritik pendirian penganjur Bersih 3.0 mahu berhimpun di Dataran Merdeka.

Sekitar 100,000 orang hadir pada majlis sambutan malam tadi.

Dalam ucapannya, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Umno tidak pernah mendominasi kuasa politik negara ini.

Beliau juga meminta pembangkang berhenti daripada mempersalahkan Umno atas setiap masalah dihadapi mereka.

"Umno tak mabuk kuasa dan kami akan berubah mengikut tuntutan masa yang inginkan perubahan dan dasar Umno boleh berubah, namun kami matlamat memperjuangkan agama, bangsa dan negara tidak akan berubah," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: