Jumaat, 18 Mei 2012

Didik dari buaian

Oleh Mior Kamarul Shahid dari New York

Malaysia guna kaedah pendidikan jamin kejayaan setiap pelajar


MALAYSIA akan memperkenalkan metodologi pendidikan dari 'buaian ke kerjaya' yang bermula peringkat awal kanak-kanak sehingga tamat pengajian di universiti.

Kaedah yang diasaskan Canselor State University of New York (SUNY), Dr Nancy Zhimper dan digunakan di Amerika Syarikat itu berjaya meningkatkan kejayaan pelajar dari zaman kanak-kanak sehingga tamat belajar di universiti dan berkerjaya.

Dengan beberapa pemerhatian dan pembabitan kerajaan, kita boleh mengurangkan kadar keciciran. - Najib Razak, Perdana Menteri 
 
Perkara itu dibincangkan pada mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), kelmarin yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke sini.

Ia adalah kerjasama strategik antara beberapa kementerian dengan SUNY bersama Akademi Sains New York (NYAS) untuk membangunkan kapasiti modal insan. Selain mencapai matlamat modal insan inovatif, ia bertujuan mendapat pengiktirafan global, seterusnya melahirkan minda pemenang Hadiah Nobel negara.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri berkata, menerusi pendekatan itu, setiap tahap perjalanan pelajaran murid memerlukan pemerhatian dan pengesanan positif bagi memastikan mereka kekal dalam sistem dan akhirnya menghindari keciciran.

Katanya, ia juga mengambil kira permasalahan dan cabaran dalam konteks masyarakat di New York yang mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia.
“Dengan beberapa pemerhatian dan pembabitan kerajaan, kita boleh mengurangkan kadar keciciran dan menambah penyertaan dan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Pada masa ini, jumlah pelajar yang terbabit dalam mata pelajaran berkenaan tidak memberangsangkan. Melalui pendekatan buaian ke kerjaya, pelajar akan ditempatkan di universiti melalui program internship (pelatih) supaya mereka mempunyai lebih nilai pasaran apabila memiliki ijazah kelak,” katanya.

SUNY dan NYAS juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung inisiatif itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Ia membabitkan pelbagai langkah, termasuk mengenal pasti tindakan tertentu seperti jagaan harian atau lawatan ke rumah oleh pekerja khidmat sosial yang menjadi cara paling baik menyediakan kanak-kanak untuk mula belajar di taman didikan kanak-kanak dengan cara yang betul.

Pelajar kemudian dibantu untuk memenuhi petunjuk yang dikesan dalam bidang kritikal seperti matematik dan kemahiran membaca sepanjang tempoh perjalanan pendidikan mereka.

Memorandum persefahaman (MoU) juga dimeterai antara NYAS dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), disaksikan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung program Permata Negara.

Mengikut kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju menjalin kerjasama strategik membangunkan minda pemenang Hadiah Nobel di kalangan pelajar Permata Pintar UKM.

Mereka juga bersetuju menubuhkan program ‘Laureate-in-Residence’ di Permata Pintar UKM dan Makmal Pintar di universiti penyelidikan terpilih di Malaysia bagi penyelidikan asas untuk kemajuan bersama.

MoU juga bagi membolehkan pelajar Permata Pintar UKM dan penyelidik universiti penyelidikan Malaysia melaksanakan program di NYAS untuk mengukuhkan set kemahiran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Tiada ulasan: