Isnin, 21 Mei 2012

‘Amal Islami’ Mampu Tingkat Kefahaman Kanak-kanak Terhadap Islam





RAWANG : Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) yang dijayakan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) dan Kelas Al Quran &Fardu  Ain (KAFA) di Selangor mampu melahirkan umat yang memiliki akhlak mulia serta mengikut ajaran Islam sebenar.
 
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penganjuran program tersebut wajar dipuji kerana ia akan mempertingkatkan kefahaman Islam di kalangan umat Islam terutamanya anak-anak  di negeri ini.

Menurutnya, pendekatan itu adalah tepat kerana menerusi SRA, SRAI dan KAFA akan melahirkan golongan anak-anak berilmu  yang disifatkan sebagai  harta paling penting dan bernilai.

“Saya sangat bersyukur kerana kita dapat menjayakan program keagamaan dalam usaha melahirkan diri kita dengan amalan yang bertepatan mengikut ajaran Islam yang terkandung dalam Al Quran dan Sunnah Rasullulah SAW. Saya berharap agar kita semua terus mendapat petunjuk dalam keredhaan Allah.



“Hakikatnya umat Islam serata dunia sedang menghadapi gejala keruntuhan akidah dan peradaban mahupun ekonomi serta pentadbiran yang kebanyakannya adalah kesilapan umat Islam sendiri,” katanya dalam majlis perasmian Ujian Kemahiran Amal Islami Daerah Gombak 2012 di SRA Al Hidayah, Taman Tun Teja di sini hari ini.

Beliau juga gembira kerana program ini dapat mempertingkatkan kefahaman Islam dikalangan kanak-kanak dan dapat menjadikan Islam sebagai Addin dalam kehidupan seharian.

Turut hadir, Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Datuk Zainal Abidin Aala.

Seramai hampir 3,000 hadirin berkumpul dalam majlis tersebut terdiri dari ibu bapa murid, tenaga pengajar sekolah, murid-murid dan tetamu yang lain.

Abdul Khalid juga menyeru Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selaku jabatan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan umat Islam di Selangor perlu melakukan anjakan hala tuju supaya umat Islam menjalani kehidupan mengikut ajaran Islam yang sebenar.

Tambahnya, kita semua mesti menyakini kerangka dan pesanan ilmu ahli sunnah wal jamaah untuk mempertahankan dan memperjuangkan kesahihan akidah, syariah dan akhlak yang dituntut oleh Rasullulah SAW.

 Antara yang perlu dipertingkatkan oleh umat Islam pada masa ini khususnya di Selangor ialah menambah bilangan anak-anak yang tidak bersekolah agama, meningkatkan kehadiran jamaah di masiddan surau-surau dan bagi bahagian keluarga pula mungkin pengurangan kadar perceraian.

“Kita semua mahukan perubahan yang berteraskan tarbiah  dalam masyarakat Islam di Selangor. 
 
“Maka masyarakat Islam kita mesti menghayati ilmu agama yang betul dan benar serta membanteras perkara-perkara yang tidak menghormati agama Islam,” katanya.

Tiada ulasan: