Jumaat, 9 Disember 2011

Warga Malaysia Belanja Purata RM46 Sebulan Bagi Internet Mudah Alih

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia membelanjakan purata AS$15 (RM46) sebulan bagi Internet mudah alih, satu segmen yang telah berkembang lebih daripada sekali ganda sejak tahun lepas dengan pertumbuhan dijana terutamanya oleh pengguna dalam golongan usia 15-25 tahun.

Empat kegiatan utama berkaitan mudah alih yang paling digemari oleh rakyat Malaysia ialah menghantar emel, mengakses laman perangkaian sosial, memuat turun nada dering dan menghantar mesej segera, demikian menurut kaji selidik tahunan Indeks Net 2011 Yahoo! pada Jumaat.

"Penggunaan telefon bimbit yang ada ciri pintar dan pelan data termampu, ciri-ciri canggih seperti fungsi panggilan dan teks, capaian kepada laman web mudah alih dan ciri-ciri multimedia memang lumrah di kalangan rakyat Malaysia," kata kaji selidik itu.

DiGi adalah penyedia perkhidmatan telefon pintar dan mudah alih paling terkemuka di Malaysia dan menguasai 47 peratus pasaran, diikuti oleh Maxis (32 peratus dan Celcom (lapan peratus).

Ia juga berkata berbanding negara-negara Asia Tenggara lain, rakyat Malaysia cenderung memiliki telefon bimbit mahal termasuk telefon pintar.

Menurut tinjauan itu lebih daripada 60 peratus pengguna mudah alih di negara ini memiliki telefon bimbit bernilai US$100 (RM312) dan hampir seperempat memiliki telefon bimbit yang berharga lebih daripada US$300 (RM937) berbanding telefon berciri harga rendah yang digunakan dengan meluas di Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Berbeza dengan pasaran Asia Tenggara laindi mana Nokia merupakan pengeluar dominan, Malaysia adalah satu-satunya pasaran yang didominasi oleh Sony Ericsson dengan penguasaan pasaran sebanyak 39 peratus, diikuti oleh Nokia (26 peratus)serta Blackberry dan Apple (masing-masing enam peratus). - BERNAMA

Tiada ulasan: