Ahad, 18 Disember 2011

Suhakam: Usah pertikai teguran kami, bentuk PSC hak asasi manusia


KUALA LUMPUR — Suhakam mengesyorkan agar jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai hak asasi manusia dibentuk sebagai mekanisme penting untuk membuat pertimbangan lebih berpengetahuan dan memberi fokus ke atas isu-isu hak asasi manusia di kalangan ahli Parlimen Malaysia.

Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, langkah itu juga akan mengukuhkan proses demokrasi berparlimen di negara ini.

Pada masa yang sama, Hasmy (gambar) meminta tiada mana-mana pihak yang mempertikaikan pandangan dan teguran dibuat oleh Suhakam mengenai hak asasi manusia negara ini.

“Sebagai sebuah institusi hak asasi manusia nasional, Suhakam menjalankan tanggungjawabnya bagi mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara kita berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan serta 30 Perkara yang terkandung dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat,” katanya pada Majlis Makan Malam Suhakam Bersama Media di Kuching malam tadi.

Teks ucapan dikeluarkan di sini hari ini.

Tegas beliau, ia adalah mandat Suhakam yang telah termaktub dalam Akta Suhakam.

“Jadi, sekiranya dari semasa ke semasa Suhakam menegur ke atas perkembangan-perkembangan yang dari segi hak asasi sepatutnya ditegur, ini adalah tugas kami, dan sepatutnya di anggap sebagai komen-komen yang membena atau konstruktif.

“Ini adalah tugas kami untuk membantu Kerajaan kita mempertingkatkan lagi tahap atau standard hak asasi manusia di negara kita, sebagai sebuah negara yang pesat maju dan bertamadun,” katanya.

Oleh itu kata Hasmy, beliau amat berharap semoga tanggungjawab dan mandat Suhakam difahami oleh semua rakyat dan tidak lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Jelas Hasmy, tuntutan terhadap hak asasi harus dihormati dan permintaan serta cadangan orang ramai tentang isu-isu penting perlu diberi pertimbangan dan keutamaan dalam penyediaan dasar dan implimentasi program-program tertentu. Kritikan membina yang diterima dari masyarakat antarabangsa juga tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja.

Menurut Hasmy, laporan tahunan suruhanjaya itu yang dikemukakan kepada ahli-ahli Parlimen setiap tahun, tidak diperdebatkan.

“Di sini juga, Suhakam ingin mengambil pendekatan dengan melibatkan secara aktif bersama media agar pihak media dapat memainkan peranan dalam membantu kami di Suhakam mengetengahkan isu-isu penting berhubung hak asasi manusia,” katanya.

Kata beliau, Suhakam telah secara konsisten menyeru agar kajian semula harus dibuat terhadap undang-undang yang tidak selari dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang menyekat kebebasan berpendapat dan menerima maklumat termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan kebebasan mengeluarkan pendapat tetapi dengan sekatan-sekatan yang tertentu, seperti terkandung dalam Perkara 10(20) dan 10(4) dan Perkara 149, atas dasar ketenteraman awam, keselamatan, moraliti dan hasutan, yang seterusnya menjadi sebahagian undang-undang negara.

“Kami di Suhakam percaya media sepatutnya bebas dan mesti memainkan peranan secara profesional dalam melaporkan sesuatu perkara tanpa bimbang dan takut, seiringan dengan tanggungjawab lebih beretika dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam,” katanya lagi.

Sambil berkata konsep hak asasi manusia telah mendapat tempat di hati rakyat dan pengetahuan serta kesedaran mengenainya semakin meningkat khususnya tuntutan terhadap hak ekonomi, sosial dan budaya, Hasmy berkata, sesetengah pihak berpendapat perjuangan menuntut hak asasi sebagai satu fahaman atau “agama baru” ataupun gaya kehidupan baru masyarakat di zaman ini.

“Ini adalah tidak benar,” kata beliau lagi sambil menegaskan, sebaliknya, “perjuangan hak asasi manusia telah bermula sejak tamadun manusia berkembang dan kesedaran tentang pentingnya untuk kita tuntut dan pertahankan hak asasi ini harus dilihat secara terbuka dan positif.”

“Apa yang berlaku, dalam dunia yang bertambah global ini, yang sering disebut sebagai ‘a global village’, perkembangan yang berlaku beribu-ribu kilometer di negara dan di wilayah lain, membawa impak kepada negara kita.

“Ini bermakna sebagai sebuah negara kita tidak boleh tinggal berasingan dalam ‘isolation’ seperti dahulu,” katanya.

Oleh itu kata beliau, jika ada perkara-perkara negatif dalam Malaysia yang melanggar atau mencabul hak asasi manusia, ia akan ditegur oleh negara-negara lain, yang kebanyakannya terdiri daripada negara-negara sahabat — baik di Barat maupun di benua lain.

“Sepatutnya, kita menganggap komen-komen ini sebagai teguran yang membina. Peranan ini iaitu untuk menegur atau memberi komen-komen yang membina dan konstruktif adalah juga tanggungjawab Suhakam - dan tanggungjawab semua,” katanya.

Tiada ulasan: