Selasa, 13 Disember 2011

Najib dalangi konspirasi kes liwat Anwar, hujah peguam


KUALA LUMPUR – Barisan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab atas tuduhan liwat semasa dikenakan ke atas Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana “cap jari” perdana menteri ada di banyak peringkat kes.

Anwar telah berulang kali menuduh Najib terlibat dalam kes liwat kedua dihadapi beliau, malah telah menyifatkannya sebagai satu konspirasi bagi memusnahkan kerjaya politik.

Peguam Sankara Nair menegaskan semula dakwaan Anwar dengan menekankan bahawa pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan pernah mengaku ada mengadakan pertemuan dengan Najib (gambar), yang pada 2008 merupakan timbalan perdana menteri, beberapa hari sebelum kejadian liwat didakwa berlaku.

Sankara juga berhujah bahawa wujud banyak elemen tidak konsisten dalam kes pihak pendakwaan dan bukan sahaja mempersoalkan kredibiliti Saiful, tetapi juga beberapa saksi pendakwa yang lain.

“Adalah jelas cap jari Datuk Seri Najib Razak ada di semua tempat usaha terdesak pelbagai pihak untuk menyomotkan mereka,” kata Sankara ketika hujah penggulungan kes pihak pembela hari ini.

Peguam itu berkata, pertemuan antara Saiful dan Najib di kediaman rasminya pada Jun 2008 juga menimbulkan keraguan mengenai usaha jahat dalam kes semasa ini.

Justeru menurut Sankara, perdana menteri memberi jawapan-jawapan yang bercanggah kepada media apabila ditanya mengenai perkara berkenaan - pertama mengatakan Saiful bertemu dengan beliau mengenai biasiswa dan kemudian datang untuk mengadu mengenai salah laku Anwar.

“Mengapa tidak Najib datang dengan bersih apabila kali pertama ditanya mengenai perkara ini?

“Apa yang perlu disembunyikan? Mengapa beliau perlu berbohong?” kata Sankara.

Selain itu, Sankara berkata, konspirasi juga melibatkan pembabitan SAC Datuk Rodhwan Ismail dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

Peguam itu mempersoalkan sebab Rodhwan mengadakan pertemuan dengan Saiful sebelum dia membuat laporan polis sedangkan beliau bukan pegawai penyiasat ketika itu.

Selain itu, Sankara juga menimbulkan persoalan bagaimana Saiful memperoleh nombor telefon Musa.

“Nampaknya dia terdengar perbualan antara Datuk Khairil Anas atau seorang pembantu dan Najib di mana nombor telefon Musa disebutkan dan dia menyimpan dalam telefon bimbitnya,” katanya lagi.

Sankara juga menekankan hakikat berkenan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk mengetepiakn sepina meminta mereka hadir di mahkamah sebagai saksi pembela.

Katanya, kedua-dua mereka tidak sewajarnya mengelak jika tiada sebarang perkara untuk disembunyikan.

“Jika perdana menteri dan Rosmah tidak relevan, maka mengapa pegawai penyiasat DSP Jude Pereira perlu merekodkan kenyataan mereka?

“Ini bukan hanya rumusan kami. Ia juga rumusan rakyat umum,” katanya. Terdahulu, pihak pembela juga mempersoalkan kredibiliti saksi utama dan mahukan mahkamah menilai semula kredibiliti saksi itu kerana ia menjadi perhatian utama dalam kes ini.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata ia jelas daripada keterangan Saiful yang berbohong walaupun mahkamah mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai pada penutup kes pendakwaan.

Anwar menghadapi pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap bekas pembantunya Saiful, 26, di Desa Damansara Condominium di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Karpal juga berkata kredibiliti Saiful terus terhakis kerana dia lambat membuat laporan yang hanya dilakukan dua hari selepas dakwaan insiden itu berlaku dan tidak ada penjelasan yang boleh diterima atas kelewatan itu.

Karpal juga mahu mahkamah itu menangguhkan keputusannya mengenai kes liwat Anwar bagi membolehkan Saiful dipanggil semula dan memanggil Timbalan Pendakwa raya Farah Azlina Latif, anggota pasukan pendakwaan, yang didakwa ada hubungan sulit dengan Saiful, sebagai saksi, untuk menafikan dakwaan itu dengan bersumpah.

Penghujahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok.

Tiada ulasan: