MALAYSIA KINI
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman sivil Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia berhubung penyiaran artikel mengenai isu komunis Bukit Kepong.Hakim Datuk John Louis O'Hara membenarkan bantahan awal yang ditimbulkan pleh peguam Utusan Malaysia yang mendakwa saman itu remeh dan menyusahkan selain ia suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Hakim O'Hara juga mengarahkan Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, untuk membayar kos RM5,000.
Utusan diwakili oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Mat Sabu pula diwakili oleh Azhana Mohd Khairudin.
Pada 14 September lalu, Mohamad, 57, memfailkan saman itu dengan mendakwa kedua-dua defendan - Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad - dengan niat jahat telah menerbitkan satu artikel fitnah pada 27 Ogos lalu dan dua lagi artikel pada keesokan harinya iaitu pada 28 Ogos.
Mohamad mendakwa penyiaran artikel itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa dirinya menyokong komunis, telah terkeluar daripada ajaran dan akidah Islam kerana menyokong komunis dan mengiktiraf Muhammad Indera sebagai pengganas komunis yang bekerjasama dengan Goh Peng Tun dan 200 lagi angggota komunis.
Beliau mendakwa dirinya terasa malu dan aib serta sengsara dari segi maruah, kredibiliti dan juga reputasinya, serta menanggung penderitaan akibat menerima khidmat pesanan ringkas yang mengandungi ugutan jenayah terhadap dirinya dan keluarga serta ancaman supaya dirinya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau juga mendakwa menerima ancaman agar kewarganegaraan beliau dilucutkan di samping didakwa di mahkamah atas dakwaan menghasut atau menghina Yang di-Pertuan Agong.
Mohamad mendakwa tindakan defendan-defendan menerbitkan semua artikel tersebut bertujuan untuk mensensasikan berita, melariskan penjualan akhbar bagi mendapatkan faedah kewangan dan bagi mendatangkan keuntungan politik kepada parti politik Umno.
Beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan melampau yang tidak ditetapkan jumlahnya serta satu perintah mahkamah agar kesemua defendan memohon maaf serta menarik balik artikel fitnah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan