LONGGARKAN ....Masiung cadang longgarkan syarat kepada pemilik tanah yang sudah dibawa mesyuarat LUC.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
SEWAJARNYA permohonan tanah yang diusahakan Anak Negeri Sabah yang sudah dibawa ke mesyuarat LUC di Pejabat Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), diberikan kelonggaran syarat, termasuk untuk mendapatkan bantuan daripada agensi Kerajaan seperti FELCRA, RISDA, Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan.
Dengan kaedah dan sistem sebegini yang dilaksanakan oleh agensi-agensi yang disebutkan itu, akan menjurus kepada peningkatan usaha para petani dan pekebun kecil; sama ada dalam perkebunan kelapa sawit mahupun getah agar mereka juga sama-sama menikmati bantuan yang disalurkan oleh agensi-agensi berkenaan.
“Apa yang kita difahamkan sekarang, agensi-agensi berkenaan hanya memberi keutamaan kepada para petani pekebun kecil yang mempunyai geran sahaja”.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Masiung Banah ketika berucap di majlis perjumpaan dengan para pemilik tanah di Kampung Karamuak, Kuamut, kelmarin.
“Sebagai Wakil Rakyat Kuamut, saya amat mengalu-alukan usaha murni dan inisiatif agensi-agensi berkenaan agar memberi ruang seluas-luasnya dalam pengagehan bantuan seperti baja, bibit anak sawit, bibit anak pokok getah, bibit pelbagai jenis buah-buahan kepada para pemilik tanah khususnya para pekebun-pekebun kecil,” ujar Masiung.
Katanya, dengan adanya bantuan-bantuan sedemikian boleh menggalak dan menyuntik semangat para petani dan pekebun kecil untuk terus menggembleng tenaga mereka untuk memajukan tanah-tanah yang sudah diusahakan atau yang baru memulakan mengusaha tanah mereka.
Ditanya Sabahkini.net mengenai isu tanah seluas 7,230 ekar yang membabitkan 482 keluarga Masiung menjelaskan;
“Saya berharap tiada lagi isu tanah tersebut dibangkitkan oleh orang kampung sebab saya sudah menjelaskan dengan terperinci melalui ucapan-ucapan saya pada majlis perjumpaan di Kampung Entilibon dan Kampung Sogo-Sogo, berhubung kedudukan sebenarnya tanah-tanah mereka.
“Kalau adapun isu-isu mengenai tanah-tanah tersebut yang masih dibangkitkan, hanya datangnya daripada parti pembangkang yang sengaja membuat propaganda untuk mencetuskan hura-hara di kalangan penduduk-penduduk setempat,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan