Selasa, 6 Disember 2011

KPT serah kepada UIA tentukan nasib Aziz Bari



PUTRAJAYA — Kementerian Pengajian Tinggi berkata segala keputusan dan tindakan hasil siasatan terhadap pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari diserahkan kepada pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menentukannya.

Menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, kementeriannya tidak terlibat dalam membuat keputusan dan tindakan terhadapnya pensyarah fakulti undang-undang itu.

“Kementerian tidak terlibat dengan sebarang tindakan termasuk siasatan terhadap Aziz Bari, perkara itu saya serahkan kepada pihak pengurusan UIA untuk membuat sebarang keputusan,” katanya pada sidang media pelancaran Program Latihan Industri Graduan Berimpak Tinggi (HEIGIP) di pejabatnya di sini.

Menurut Khalid lagi, hanya UIA yang berhak untuk membuat sebarang keputusan terhadap Aziz.

“Biar UIA yang putuskan perkara itu,” katanya lagi.

Laporan The Malaysian Insider hari ini menyebut pentadbiran universiti itu meletakkan segala keputusan kepada Aziz jika mahu meninggalkan pusat pengajian tinggi itu.

Aziz disiasat atas alasan telah memudaratkan imej universiti dan juga polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, termasuk siasatan atas dakwaan mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu Jais dan gereja baru-baru ini.

Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin yang dihubungi The Malaysian Insider berkata: “Keputusan itu hanya Aziz yang berhak menjawabnya.”

“Itu semua terpulang kepadanya,” katanya ketika ditanya berkenaan perkara itu.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkenaan perkara itu, sebaliknya menyerahkannya kepada rektor untuk memberikan kenyataan.

“Saya tiada maklumat tentang perkara itu, mungkin boleh dirujuk kepada Rektor UIA,” katanya.

Kelmarin, Aziz tidak menafikan akan meninggalkan UIA awal tahun depan ekoran beberapa siri tekanan yang dikenakan ke atasnya.

Tiada ulasan: