Sabtu, 24 Disember 2011

Jom Shopping: Penduduk Terharu Nikmati Bantuan

Oleh Lizawati Madfa


SUNGAI BULOH : Program Jom Shopping anjuran Kerajaan Negeri menyentuh hati rakyat Selangor khususnya yang tidak pernah berpeluang menikmati bantuan sebegini sebelum ini.

Bagi R. Manikkam, 43, yang menemani ibu dan ibu saudaranya ketika menerima bantuan baucar membeli belah tersebut berkongsi rasa gembira dengan usaha sebegini yang baginya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban warga emas yang sebahagian besar daripada mereka sudah tidak mampu menjana pendapatan lagi.

"Saya harap usaha ini dapat diteruskan dan berharap juga agar kerajaan negeri memperbanyakkan program bagi membantu warga emas yang selama ini seolah-olah dipandang sepi," kata anak tunggal kepada penerima baucar Jom Shopping iaitu M. Selambai, 84.

Sementara itu, Samiyah Tahir, 60, dari Kubu Gajah juga bersetuju bahawa program sebegini seharusnya dapat diteruskan oleh kerajaan negeri.

"Hari ini, makcik memang rasa gembira menerima baucar kerana ini sedikit sebanyak membantu warga emas seperti makcik meringankan beban membeli barang keperluan seperti susu dan makanan berkhasiat lain," ujar Samiyah.

Program Jom Shopping membolehkan warga emas yang berdaftar dengan pusat khidmat Dun menerima baucar membeli-belah bernilai RM100 untuk berbelanja di pusat membeli belah terpilih di negeri.

Kesemua mereka ini ditemui pagi tadi bertempat di Econsave Sungai Buloh, ketika program Jom Shopping bagi Dun Paya Jaras.

Majlis perasmian Jom Shopping kali ketiga ini disempurnakan oleh Penolong Penyelaras DUN Paya Jaras, Mokhtar Samad. Beliau mewakili Penyelaras DUN, Mohd Khairuddin Othman yang tidak dapat hadir.

Mokhtar dalam ucapannya menjelaskan program ini adalah satu program di bawah Skim Mesra Usia Emas yang terkandung dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk membolehkan rakyat Selangor bersama-sama menikmati hasil negeri.

"Program ini terbuka kepada penduduk negeri Selangor, bukan sekadar warga Selangor, yang berusia 60 tahun dan ke atas.

"Peruntukan untuk program bukan dari wang cukai kerajaan negeri sebaliknya ia adalah hasil duit pasir negeri yang di belanjakan semula kerajaan kepada rakyat," jelas Mokhtar.

Kali pertama Program Jom Shopping diadakan untuk kawasan Dun Paya Jaras adalah pada 24 September lepas dengan 100 baucar diedarkan kepada warga emas yang layak.

Kemudian, diikuti oleh penganjuran 20 Oktober lalu dengan 200 baucar diberi seiringan dengan perayaan Deepavali dan untuk bulan Disember ini, sebanyak 100 baucar membeli-belah diagihkan.

Tiada ulasan: