Rabu, 7 Disember 2011

Debat: AUKU Dan Autonomi Mahasiswa

AKSI

Kami pimpinan AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI) menempelak tindakan pihak kerajaan berkenaan dengan isu Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU). Kami berpendirian bahawa isu berkenaan dengan kebebasan akademik amnya dan AUKU khususnya harus dipandang serius oleh pihak kerajaan. Ini kerana pengumuman Perdana Menteri Najib Abdul Razak baru-baru ini untuk sekadar meminda AUKU adalah satu tindakan kurang bijak dan hanya dilihat sekadar bermain tarik tali tentang tuntutan pemansuhan AUKU oleh mahasiswa.

Belum pun reda berita mengenai penarikan balik penggantungan terhadap Profesor Aziz Bari di UIA, kita digemparkan dengan berita pembatalan program yang melibatkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifudin Abdullah oleh pihak UIA sendiri berkaitan dengan buku kontoversi yang telah dikarang oleh beliau sendiri. Begitu juga dengan nasib Profesor Aziz Bari yang telah dihalang untuk membentangkan kertas kerja di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) serta penggantungan lima orang mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Justeru itu, kami AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI) mengambil satu inisiatif untuk menganjurkan satu program debat antara mahasiswa yang diwakili oleh kepimpinan tertinggi dalam kalangan mahasiswa di kampus. Kami telah menjemput panel-panel dari wakil IPTA seperti YDP MPM UiTM, YDP MPM UM, YDP MPM USM, YDP MPM UTM, YDP MPM UPM dan juga YDP MPP UPSI untuk berdebat bersama.

Malangnya hampir kesemuanya menolak pelawaan kami untuk membincangkan isu AUKU dan Kebebasan Akademik. Tetapi hanya YDP MPM UM sahaja yang berani menerima jemputan kami dan kami berasa amat kecewa selaku penganjur pentas perdebatan ini.

Kami memandang serius penolakan untuk bersemuka dari setiap wakil dan melihat mereka bersifat bacul dan tidak matang serta memalukan kepimpinan yang mereka terajui sendiri.

Universiti bukannya kilang untuk membiakkan para robot dan mesin pekerja yang telah diprogramkan oleh pihak tertentu, tetapi jauh lebih besar dari itu, ia adalah gedung melahirkan para pemikir dan reformis. Mahasiswa telah melakar sejarah kegemilangannya pada satu ketika dahulu, sebagai agen pendesak dan pengimbang bagi pemerintah.

Justeru, tindakan kepimpinan mahasiswa UiTM, USM, UTM, UPM dan juga UPSI adalah tindakan tidak profesional dan bersikap defensif serta acuh tak acuh dalam isu autonomi mahasiswa. Kami mencabar pihak berkenaan supaya menerima pelawaan kami untuk berdebat serta menyampaikan hujah dan idea mereka dalam pentas yang telah kami sediakan.

Namun kami tetap meneruskan pentas perdebatan yang panelnya adalah wakil aktivis mahasiswa daripada Pro Aspirasi, Mohd Syamsul Salleh dan juga Pro Mahasiswa, Ahmad Syukri Abd Razab yang bertajuk AUKU Dan Autonomi Mahasiswa pada Jumaat ini 9 Disember 2011 jam 8.30 malam di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Selangkah demi menyambut baik kenyataan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) dan bersolidariti atas kapasiti mahasiswa, kami berpendirian akan bersama-sama turun ke jalan pada 17 Disember 2011 (Sabtu) jam 2 petang di Dataran Merdeka bagi menuntut kebebasan akademik atas dasar prinsip serta tuntutan yang telah BEBAS umumkan.

"Mahasiswa Mendepani Isu"

*Kenyataan oleh Ekhsan Bukharee Bin Badarul Hisham dari AKSI Mahasiswa Peduli (AKSI).

Tiada ulasan: